Kuala Lipis: Seorang wanita terbunuh apabila kereta Proton Saga dipandunya hilang kawalan dan terbabas sebelum bertembung dengan sebuah pacuan empat roda di Kilometer 59, Jalan Lipis-Merapoh, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.50 pagi itu, mangsa Hasnida Hassan, 28, berasal dari Kampung Tualang, Kuala Krai, Kelantan, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di dada dan pendarahan dalaman.

Ketua Polis Daerah Kuala Lipis Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, adik mangsa Mohamad Hisyam, 25, yang bekerja di sebuah syarikat swasta, dekat sini, mengalami kecederaan parah dan patah kaki kanan.

“Siasatan awal mendapati Hasnida yang dalam perjalanan menghala ke Merapoh dari sini dipercayai hilang kawalan dan terbabas masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah pacuan empat roda dipandu Muhamad Khaili Mat Ali, 19, berasal dari Kampung Lepan Jaya, Gua Musang, Kelantan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Disember 2014 @ 5:38 AM