FOTO Facebook Haspaizi.
FOTO Facebook Haspaizi.
Noor Ainum Ibnu Hajar Abu Seman


Kuantan: Bekas wartawan Berita Harian (BH), Haspaizi Mohd Zain parah selepas kenderaan dinaiki terbabit kemalangan di Kilometer 30, Jalan Lipis-Merapoh, Lipis, jam 2.15 pagi tadi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Lipis, Deputi Superintendan Abdul Rashid Md Daud berkata, ketika kejadian, MPV itu dipandu isteri mangsa, Noorulnadia Abdullah dan sedang dalam perjalanan dari arah Lipis menghala ke Bandar Raub.

Beliau berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, kenderaan itu bergesel dengan lori kecil.

"Mangsa mengalami kecederaan pada bahagian dagu, mata kiri, luka pada bahagian atas bibir dan mengalami pendarahan hidung.

"Pemandu lori tidak mengalami kecederaan," katanya ketika dihubungi di sini, sebentar tadi.

Abdul Rashid berkata, mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lipis sebelum dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh.

Difahamkan, Noorulnadia dan lima anak mereka berusia antara empat hingga 11 tahun yang berada dalam kenderaan, tidak mengalami kecederaan serius.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Ogos 2016 @ 3:17 PM