RAVINDRAN memberi penerangan bagaimana AFTA akan memberi kesan kepada permintaan dan persaingan dalam industri kenderaan perdagangan.
RAVINDRAN memberi penerangan bagaimana AFTA akan memberi kesan kepada permintaan dan persaingan dalam industri kenderaan perdagangan.
Oleh Sofyan Rizal Ishak

Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sedang meneliti kira-kira 24 perjanjian berkaitan pengangkutan darat untuk diperbaiki dan dilaksanakan melalui Komuniti Perniagaan ASEAN (AEC) menjelang hujung tahun ini bertujuan meningkatkan lagi aktiviti perdagangan dalam kalangan negara Asia Tenggara.

Pengarah Kanan Bahagian Kerjasama Ekonomi ASEAN MITI, P Ravidran berkata perjanjian terbabit perlu diperbaiki kerana proses penguatkuasaan undang-undang adalah berbeza bagi setiap negara dan ia harus diselaraskan bagi memudahkan liberalisasi pengangkutan serta pasaran dalam kalangan 10 negara Asia Tenggara.

“Liberalisasi dalam pengangkutan darat ini dilihat amat penting untuk meningkatkan aktiviti perdagangan dalam kalangan negara ASEAN yang kini berjumlah 24 peratus kepada 33 hingga 35 peratus dalam tempoh jangka panjang,” katanya pada majlis perbincangan meja bulat mengenai Kawasan Perdagangan Bebas Asean (AFTA) dan impaknya kepada industri trak di sini, semalam.

Beliau berkata, terdapat tiga perjanjian sudah ditandatangani di bawah sektor perkhidmatan pengangkutan, namun terpaksa diperbaiki bagi memastikan ia bakal memanfaatkan pengguna dan perniagaan adalah seiring dengan pelaksanaan AEC pada tahun ini.

Perjanjian terbabit adalah terdiri daripada Perjanjian Rangka Kerja ASEAN bagi Fasilitasi Barangan Dalam Transit (AFAFGIT) pada 1998, Perjanjian Rangka Kerja ASEAN bagi Pengangkutan Pelbagai Mod (AFAMT) 2005 dan Perjanjian Rangka Kerja ASEAN bagi Fasilitasi Pengangkutan Antara Negeri AFAFIST (2009).

“Kami berharap perjanjian ini dilaksanakan secepat mungkin kerana ia membantu dalam mengurangkan kos pengangkutan bagi syarikat sekali gus turut menurunkan kos perbelanjaan pengguna di negara ini di samping memberi peluang kepada syarikat tempatan untuk meluaskan lagi pasaran di peringkat serantau dan global,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau melihat pelaksanaan perjanjian itu bakal memberi peluang besar kepada Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) terutama dalam kalangan syarikat kecil untuk meningkatkan aktiviti dan pertumbuhan perniagaan masing-masing memandangkan pengurangan kekangan dalam perdagangan serantau.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 January 2015 @ 6:20 AM