MUHYIDDIN melihat produk keluaran PKS ketika melawat ruang  pameran di Persidangan dan Pameran SME Asean 2015, semalam.
MUHYIDDIN melihat produk keluaran PKS ketika melawat ruang pameran di Persidangan dan Pameran SME Asean 2015, semalam.
Oleh Sofyan Rizal Ishak

Kuala Lumpur: Perkembangan pasaran pengguna dan perluasan rangkaian pengeluaran di Asia akan menjadi penggerak utama dalam mempromosikan peningkatan perdagangan antara rantau ASEAN pada masa depan.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pendekatan yang sedang dilaksanakan semua kerajaan di negara Asia Tenggara untuk meningkatkan pelaburan dan pembangunan infrastruktur akan terus memacu lagi trend berkenaan.

“Langkah seterusnya dalam pelaksanaan revolusi ASEAN sebagai blok ekonomi melangkaui perdagangan bebas adalah menyepadukan ekonomi ahli ASEAN pada masa depan dan ia kini terbukti melalui konsep Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC),” katanya pada ucaptama semasa pelancaran Persidangan dan Pameran SME ASEAN 2015 (ASSC) 2015 di sini, semalam.

Beliau berkata, ASEAN berkembang menjadi blok ekonomi bagi perdagangan antarabangsa dan ia dijangka bertambah meriah apabila perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) bakal ditandatangani antara ASEAN dan Rakan Perdagangan Bebas terkini (FTP) seperti China, Jepun, Korea, India, Australia serta New Zeland.

“RCEP akan mewujudkan blok perdagangan terbesar di dunia dengan menggabungkan populasi melebihi tiga bilion,” katanya.

Sehingga kini, sesi rundingan RCEP masih berjalan dan bakal dimuktamadkan sebelum akhir tahun ini di mana inisiatif terbabit akan memberi manfaat kepada semua perusahaan kecil sederhana (PKS) di negara ini.

Muhyiddin berkata, PKS adalah tonggak penting dalam pembangunan ekonomi dalam kalangan negara ASEAN dengan penguasaan 95 hingga 99 peratus dalam perniagaan dan menyumbang antara 23 hingga 58 peratus kepada KDNK manakala 10 hingga 30 peratus (eksport) serta 43 hingga 97 peratus kepada pekerjaan.

Menurutnya, perkara ini menjadikan PKS sebagai segmen penting dan akan diberikan perhatian oleh Malaysia selaku Pengerusi ASEAN pada tahun ini bertujuan untuk menyediakan komuniti PKS ASEAN dengan perdagangan pesat dan peluang rangkaian merentasi sempadan.

ASSC 2015 adalah acara yang dianjurkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) serta Perbadanan Perusahaan Kecil Sederhana Malaysia (SME Corp) daripada 26 hingga 28 Mei ini dengan menghimpunkan kira-kira 100 PKS ASEAN dan 200 PKS tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mei 2015 @ 9:27 AM