Oleh Sofyan Rizal Ishak

Kelana Jaya: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) yakin pelantikan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN dan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) pada tahun ini mampu meningkatkan pendapatan dalam kalangan koperasi tempatan melalui perdagangan antara koperasi tempatan dan serantau.

Presidennya Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, situasi itu adalah peluang terbaik kepada koperasi tempatan untuk meluaskan pasaran produk ke luar negara dan perkhidmatan masing-masing dan menyumbang kepada peningkatan nilai perdagangan antara Malaysia dan negara ASEAN lain.

“Saya cukup optimis dengan situasi ini memandangkan rantau ASEAN menawarkan potensi tinggi kepada koperasi tempatan kerana terdapat kira-kira 60 juta ahli koperasi membabitkan lebih 150,000 koperasi di rantau ini,” katanya.

Beliau berkata, peluang koperasi tempatan meluaskan perniagaan ke luar negara dilihat akan meningkat pada tahun ini dan sektor koperasi tempatan juga dijangka menikmati manfaat sama kerana penghasilan produk serta perkhidmatan koperasi akan bertambah disebabkan situasi terbabit.

“Koperasi perlu merebut peluang ini di mana ia seiring dengan hasrat kami untuk menggalakkan mereka untuk menjalinkan kerjasama dengan koperasi lain, syarikat perniagaan dan konsortium dan syarikat besar bagi memastikan mereka mampu menjana pendapatan lebih baik tanpa bergantung kepada satu perniagaan semata-mata,” katanya.

Fattah berkata, semua koperasi diseru melaksanakan idea perniagaan lebih berdaya saing dengan disokong bantuan modal dan pasaran oleh kalangan ahli sendiri bagi memastikan sektor koperasi negara berdaya saing memandangkan sektor koperasi memiliki potensi baik dengan mencatatkan peningkatan perolehan daripada tahun ke tahun.

“Tahun ini, sektor koperasi dijangka mencapai perolehan sebanyak RM40 bilion berbanding anggaran RM35 bilion pada tahun lalu dan RM32.9 bilion (2013) dan kami yakin jumlah itu akan dapat dicapai dibantu penyertaan koperasi dalam aktiviti perniagaan berimpak tinggi dan perluasan produk dan perkhidmatan ke luar negara,” katanya.

Beliau berkata, bilangan koperasi yang meluaskan pasaran ke luar negara boleh dikatakan masih sedikit, namun pelantikan negara sebagai Pengerusi ASEAN 2015 dan AEC akan membantu lebih banyak koperasi menembusi pasaran luar negara seperti contoh Koperasi Ukhwah yang menerokai pasaran hartanah di London.

“Kami lihat pelbagai peluang boleh diterokai seperti menjalinkan kerjasama dengan Koperasi Masjid di Kemboja dalam bidang penternakan lembu dan bidang pertanian di Thailand. Selain itu, kami merancang mempromosikan skim kewangan mikro kredit Islamik dan penghasilan produk halal di rantau ASEAN kerana ia adalah kekuatan negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Februari 2015 @ 7:17 AM