Antalya: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, ASEAN dan Kumpulan 20 (G20) boleh bekerjasama mencetus kadar pelaburan yang lebih tinggi dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dunia secara mapan.

“ASEAN bersetuju bahawa G20 boleh membantu pertumbuhan ekonomi dunia secara seimbang dan mapan,” katanya pada sidang akhbar selepas sesi kerja makan malam sempena Sidang Kemuncak G20 ke 10, di sini, sebelum berlepas pulang ke tanah air.

Perkara berkenaan dinyatakan Perdana Menteri selaku Pengerusi ASEAN kepada pemimpin G20 ketika sesi kerja mengenai pertumbuhan inklusif yang membincangkan soal ekonomi global, strategi pertumbuhan dan pelaburan serta pekerjaan.

Pada sesi berkenaan, Najib menyatakan ASEAN adalah rantau yang paling dinamik di dunia, menyumbang enam peratus kepada pertumbuhan ekonomi global.

Bukan sekadar mempunyai kelebihan pasaran dengan jumlah penduduk 600 juta orang malah, katanya, pertambahan golongan kelas pertengahan bermakna bahawa permintaan untuk produk akan meningkat.

Menurut Najib, ASEAN akan lebih berdaya saing apabila Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) menjadi kenyataan kerana kewujudan pasaran bersepadu tunggal membolehkan aliran barangan, perkhidmatan, modal serta pekerja mahir yang lebih baik.

Langkah ini, katanya, membuahkan kesan positif apabila jumlah dagangan ASEAN berkembang lebih 30 peratus dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini.

“Kita tidak akan terhenti setakat itu, malah ASEAN memberi tumpuan kepada penghapusan halangan bukan tarif, liberalisasi lebih luas dalam bidang perkhidmatan, promosi pelaburan serta integrasi pasaran kewangan dan modal”, katanya.

Najib menyatakan kepada pemimpin G20 bahawa ASEAN percaya terhadap konsep ‘rasionalisme terbuka’ dengan pelbagai bentuk Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dimeterai dengan negara ketiga.

Di samping itu, terdapat juga FTA secara multilateral seperti Perkongsian Trans Pasifik (TPP) dan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang juga satu rangka program ekonomi serantau yang disokong oleh ASEAN.

– BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 November 2015 @ 5:56 AM