Kuala Lumpur: Kehadiran jaguh taekwondo Sorn Seavmey (gambar) dan juara dunia petanque Kemboja, Ouk Sreymom memeriahkan pusingan kelapan Larian Baton Bangkit Bersama sejauh 10 kilometer di Phnom Penh, semalam.

Larian yang melalui beberapa tempat ikonik dan bersejarah seperti Tugu Kemerdekaan dan Stadium Olimpik di Charles de Gaulle Boulevard itu berjaya menarik 5,000 peserta yang terdiri daripada kalangan penduduk setempat.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M Saravanan menyifatkan penganjuran larian yang julung kali diadakan bersempena Sukan SEA ke-29 dan Sukan Para ASEAN ke-9 atau Kuala Lumpur 2017 (KL2017) itu adalah antara yang terbaik.

“Larian Baton di Kemboja satu kejayaan yang memuaskan. Secara keseluruhannya, kami bangga dan berpuas hati dengan semua negara dalam menjayakan acara bersejarah ini.

“Kesungguhan Kemboja kali ini sekali lagi menjadi bukti keutuhan semangat setiakawan serantau,” katanya.

Turut hadir, Duta Malaysia ke Kemboja, Datuk Seri Hasan Malek, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Haslina Abdul Hamid dan Ketua Pegawai Eksekutif MASOC, Datuk Seri Zolkples Embong.

Dalam larian itu, Saravanan menyerahkan baton kepada Menteri Pelajaran, Belia dan Sukan Kemboja, Dr Hang Chuan Naron sebagai simbolik perasmian.

Chuan Naron kemudiannya menyerahkan baton kepada Seavmey yang menjadi pelari pertama sebelum diteruskan atlet paralimpik, Van Vun yang juga pembawa bendera bagi kontinjen Kemboja di Sukan Paralimpik Rio tahun lalu.

Turut menyertai larian itu dua atlet petanque yang juga bekas juara dunia iaitu Ker Leng dan Sok Chan Mean serta atlet gusti wanita, Zhou Sotheara dan atlet chinlone, Eung Narith. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 April 2017 @ 9:18 AM