Zolkples  (dua dari kanan) menunjukkan Baton Bangkit Bersama Kuala Lumpur 2017 selepas sidang media  di KBS, semalam.
Zolkples (dua dari kanan) menunjukkan Baton Bangkit Bersama Kuala Lumpur 2017 selepas sidang media di KBS, semalam.
Aida Adilah Mat

Putrajaya: Penganjuran Larian Baton Bangkit Bersama disambut baik semua negara bertanding pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos ini.

Biarpun ia pertama kali diperkenalkan, sambutan diterima di luar jangkaan dengan negara mengambil bahagian memberi maklum balas positif.

Malah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA (MASOC) Kuala Lumpur 2017 Datuk Seri Zolkples Embong mengesahkan peninju terkemuka dari Filipina Manny Pacquiao sudah bersetuju untuk turut terbabit sama dalam Larian Baton itu sebagai tanda sokongan kepada atlet yang akan bertanding di Sukan SEA nanti.

Katanya, Thailand turut memberi maklum balas yang memberangsangkan apabila mereka terpaksa memanjangkan jarak larian kepada 23 kilometer (km) daripada 10km kerana terlalu ramai yang ingin mengambil bahagian dalam acara julung kali diadakan itu.

“Malaysia pencetus kepada Larian Baton dan tema Bangkit Bersama ini bertepatan dengan semua negara bertanding.

“Saya juga amat berharap Filipina yang akan menjadi tuan rumah selepas ini akan meneruskan Larian Baton dan menjadikannya acara tetap menjelang Sukan SEA,” katanya.

Zolkples menegaskan objektif Larian Baton Bangkit Bersama adalah untuk mempromosikan temasya Sukan SEA KL Ke-29 dan Sukan Para ASEAN Ke-9 dalam kalangan negara peserta di rantau Asia Tenggara.

Justeru secara tidak langsung akan meningkatkan kesedaran mengenai KL 2017 dan seterusnya menyemarakkan keterujaan terhadap sambutan menjelang Sukan SEA dan Pada ASEAN.

Larian Baton Bangkit Bersama ini akan bermula di Brunei pada Ahad ini dan akan diserahkan kepada Filipina pada 12 Mac diikuti Laos (18 Mac), Myanmar (25 Mac), Thailand (1 April), Vietnam (9 April), Timor Leste (15 April), Kemboja (22 April), Indonesia (30 April), Singapura (13 Mei) dan Malaysia (14 Mei).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mac 2017 @ 8:02 AM