Ahmad Faizal (kanan) menyerahkan baton kepada Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia, merangkap Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Komanwel Birmingham 2022, Datuk Shahrul Zaman Yahya (dua kiri) di Ipoh. FOTO Sharul Hafiz Zam
Ahmad Faizal (kanan) menyerahkan baton kepada Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia, merangkap Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Komanwel Birmingham 2022, Datuk Shahrul Zaman Yahya (dua kiri) di Ipoh. FOTO Sharul Hafiz Zam
Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: "Dalam sukan sama ada jurulatih, atlet termasuk ahli politik dan Menteri akan datang dan pergi," kata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas berhubung isu jurulatih atlet olahraga para negara, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi yang tamat kontrak.

"Berkenaan keputusan perkara itu, kontrak bukan 'ditamatkan'.. tetapi kontrak memang sudah tamat.

"(Mungkin) apabila ditanya oleh rakan media tentu beliau terasa hati untuk berpisah dengan jurulatih yang begitu lama bersama dengan beliau.

"Paling penting sukan itu dapat diteruskan dan saya berharap atlet kita dapat membuat kejayaan demi kejayaan untuk menaikkan nama negara," katanya pada sidang media selepas melepaskan peserta Larian Baton Ratu Sukan Komanwel Birmingham 2022 di Padang Lintau Kampung Tengku Hussein, Gugusan Manjoi, hari ini.

Beliau berkata, keputusan berhubung kontrak sama ada perihal penyambungan kontrak bergantung kepada pihak Majlis Sukan Negara (MSN).

"Satu keputusan yang mereka (MSN) cuba hendak buat adalah untuk mendapatkan seorang jurulatih jangka masa panjang," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Pelari pecut para negara, Ridzuan Puzi, ternyata tidak dapat menerima bahawa dia mungkin akan terpaksa berpisah dengan jurulatih kesayangannya, R Jeganathan.

Memetik laporan itu, pemenang pingat emas acara 100 meter T36 Sukan Paralimpik Rio 2016 itu mengalirkan air matanya apabila mendapat perkhabaran bahawa kontrak jurulatih itu berkemungkinan tidak akan disambung MSN.

Biarpun masih belum ada sebarang kepastian daripada pihak MSN, spekulasi itu jelas mengganggu emosi Ridzuan menjelang Sukan Paralimpik Paris 2024.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 January 2022 @ 2:32 PM