SARUN (dua dari kanan) bersama Hannah (tiga dari kiri) memulakan larian membawa obor sempena Sukan Sea Kemboja di Menara KBS, hari ini. FOTO HAZREEN MOHAMAD
SARUN (dua dari kanan) bersama Hannah (tiga dari kiri) memulakan larian membawa obor sempena Sukan Sea Kemboja di Menara KBS, hari ini. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Saiful Affendy Sapran


Putrajaya: Kemboja sudah bersedia untuk menganjurkan temasya Sukan Sea ke-32 yang juga penganjuran kali pertama mereka untuk temasya dwi tahunan itu sejak ia diperkenalkan pada 1959.

Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Duta Khas Jawatankuasa Penganjur Sukan Sea Kemboja (CAMSOC), Hor Sarun berkata, semuanya ketika ini sudah siap tersedia dan hanya menanti kontinjen dari 10 negara Asia Tenggara lain termasuk penyokong hadir ke venue pertandingan.

"Kami ingin mengumumkan sudah bersedia untuk menganjurkan edisi ke-32 Sukan Sea dan Sukan Para Asean. Kami terlepas untuk menganjurkan temasya sukan ini sejak 1959 iaitu selama 64 tahun.

"Kami ingin memaklumkan semua tiket untuk masuk ke venue pertandingan adalah percuma, begitu juga tiada hak eksklusif penyiaran. Jadi kami mengalu-alukan kedatangan semua negara termasuk Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis larian obor Sukan Sea Kemboja, hari ini, yang menyaksikan Malaysia negara kelima untuk larian obor itu sebelum diikuti Singapura selepas ini.

Hadir sama, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh; Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Hamidin Mohd Amin; Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin serta Ketua Kontinjen ke Sukan Sea, Datuk Mohd Nasir Ali.

Sementara itu, Sarun berkata, segala kemudahan termasuk venue sukan sudah siap sepenuhnya dan mampu menampung kehadiran kontinjen serta penyokong di temasya berlangsung dari 5 hingga 17 Mei depan.

"Seperti saya katakan, segala-galanya sudah tersedia dan kami mempunyai fasiliti mencukupi termasuk hotel dan kemudahan pengangkutan.

"Kami mempunyai perkampungan sukan yang mampu menempatkan kira-kira 10,000 atlet berhampiran stadium utama. Hotel untuk penginapan kesemua delegasi negara Asia Tenggara sudah ditempah," katanya.

Sementara itu, Hannah berkata, pihaknya mengalu-alukan kehadiran delegasi dari Kemboja.

"Saya lihat segala persiapan agar teratur dan yakin kerjasama erat antara Malaysia dan Kemboja akan melancarkan lagi perjalanan penganjuran Sukan Sea nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 April 2023 @ 5:40 PM