Reuters

Lima: Pesawat Peruvian Airlines terbakar ketika mendarat di lapangan terbang dekat Jauja, Peru pada Selasa, tetapi tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Peruvian Airlines dalam satu kenyataan berkata, pesawat Boeing 737-300 itu melencong ke kanan sebelum tersasar dari landasan ketika mendarat.

Punca kejadian tidak diketahui setakat ini.

Katanya, semua 141 penumpang dan anak kapal selamat.

Pihak berkuasa sedang menyiasat kejadian itu yang berlaku pada 4.30 petang Selasa (5.30 pagi Rabu waktu Malaysia) di lapangan terbang Francisco Carle yang terletak 265 kilometer dari Lima.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri Peru, Carlos Basombrio berkata, kebakaran dijangka berlaku apabila sayap terkena landasan.

“Pesawat gagal berhenti di landasan dan mereka cuba memberhentikannya menggunakan sayap. Ini mungkin menyebabkan berlakunya kebakaran,” katanya.

Sementara itu, Boeing berkata, ia sedang mengumpul maklumat berhubung kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mac 2017 @ 10:35 AM