NAJIB dan Rosmah disambut Basombrio (kanan).
NAJIB dan Rosmah disambut Basombrio (kanan).
BERNAMA

Lima (Peru): Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tiba di ibu negara Peru petang kelmarin untuk menghadiri Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).

Pesawat khas yang membawa Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Jorge Chavez jam 8.27 malam waktu tempatan (9.27 pagi waktu Malaysia, Sabtu).

Najib disambut Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Peru Carlos Basombrio.

Mesyuarat Pemimpin APEC pada 19 dan 20 November, acara utama bagi Sidang Kemuncak APEC akan dihadiri pemimpin 12 negara anggota.

Majlis rasmi mengalu-alukan kehadiran pemimpin oleh Presiden Peru Pedro Pablo Kuczynski akan diadakan di Lima Convention Centre.

Antara program yang disusun bagi mesyuarat para pemimpin termasuk dialog tidak rasmi antara pemimpin APEC dan Ketua Pegawai Eksekutif Facebook Mark Zuckerberg, serta dialog antara pemimpin dan ketua pegawai eksekutif utama APEC yang membentuk Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 November 2016 @ 4:52 AM