MAJLIS sambutan pencapaian kerjasama antara MyJet Express dan KLN berlangsung di SICC, Kota Kinabalu.
MAJLIS sambutan pencapaian kerjasama antara MyJet Express dan KLN berlangsung di SICC, Kota Kinabalu.
Oleh Hajar Umira Md Zaki


Kuala Lumpur: MyJet Express Airlines Sdn Bhd bakal menambah dua pesawat kargo baharu di Malaysia bagi memantapkan lagi operasinya selaras dengan permintaan semasa.

Pengerusi Eksekutifnya, Mohamed Yunos Mohamed Ishak berkata, dua pesawat terbabit bakal dibawa masuk ke dalam negara secara berperingkat bermula Disember ini.

"Pelaburan untuk pesawat baharu yang terdiri daripada Boeing 737-300F dan Boeing 737-800F adalah kira-kira RM100 juta untuk melengkapkan dua pesawat Boeing 737-300 kami yang sedia ada. Kami mengakui permintaan pelanggan bagi ketelusan, kelajuan dan kebolehpercayaan yang lebih tinggi melihat pasaran e-dagang yang kian berkembang.

"Bahkan, laluan penerbangan kami juga akan bertambah ke China sehingga empat laluan baharu dan sekiranya diluluskan, kami bakal membawa kargo dari China menerusi Kuala Lumpur untuk ke India," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media secara maya bagi menyambut pencapaian kerjasama antara MyJet Express dan KLN serta sambutan sempena penerbangan ke-200 antara Kota Kinabalu, Sabah dan Macau.

Acara itu berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif MyJet Express, Azrul Hisham Datuk Abdul Wahab, Pengarah KLN Malaysia, Alan Ng dan Pengarah Urusan KLN, Mathieu Biron, secara maya.

Mohemed Yunus berkata, usaha sama dari dua cabang pengangkutan awam dan darat itu kini mencapai lebih 200 penerbangan antara Kota Kinabalu, Sabah dan Macau sejak dilancarkan awal Mac lalu.

"MyJet Express akan terus fokus dalam cabang penerbangan kargo daripada luar negara dan KLN akan berfungsi dalam penerimaan dan membuat penghantaran kepada pelanggan.

"Sehubungan dengan itu, MyJet Express amat berpuas hati dengan kerjasama bersama rakan kongsi kami dan tidak akan beralih fokus ke arah cabang yang lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 November 2021 @ 7:04 AM