KEADAAN enjin dan sayap pesawat Boeing 777-300ER yang terbakar.
KEADAAN enjin dan sayap pesawat Boeing 777-300ER yang terbakar.
AFP

Singapura: Seorang penumpang sebuah pesawat penerbangan Singapore Airlines (SIA) yang terbakar semalam menggambarkan kejadian itu umpama terlepas daripada maut.

Lee Bee Yee menceritakan detik-detik cemas kejadian berkenaan di Facebook dan memuat naik rakaman video enjin pesawat itu terbakar.

“Saya baru terlepas daripada maut! Pesawat kami mengalami kebocoran minyak selepas tiga jam penerbangan dan terpaksa berpatah balik.

“Ketika pesawat ini mendarat, tiba-tiba enjin terbakar. Apinya sangat marak,” katanya.

Menurutnya, semua penumpang terpaksa berada di dalam pesawat ketika menunggu pasukan bomba memadamkan kebakaran.

“Ini adalah lima minit yang paling menggerunkan. Bomba menyembur buih dan akhirnya api berjaya dipadamkan. Kami terlalu hampir dengan kematian.

“Saya bersyukur kerana masih hidup dan mahu pulang dan memeluk anak-anak saya,” jelasnya.

SIA dalam satu kenyataan berkata, pesawat Boeing 777-300ER itu terbakar ketika membuat pendaratan cemas di Lapangan Terbang Changi selepas berpatah balik akibat satu mesej amaran minyak enjin.

Katanya, pesawat itu dalam penerbangan dari Singapura ke Milan, Itali sebelum terpaksa berpatah balik selepas menerima amaran pada minyak enjin.

“Enjin pada sayap kanan pesawat itu terbakar selepas mendarat di Lapangan Terbang Changi kira-kira jam 6.50 pagi (waktu tempatan).

“Kebakaran berjaya dipadamkan oleh pasukan kecemasan lapangan terbang dan semua 222 penumpang dan 19 kru tidak cedera.

“Semua penumpang turun melalui tangga dan dibawa ke terminal dengan bas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Jun 2016 @ 5:46 AM