REGU Seri Kenangan Pelong muncul juara Tertutup Kampung Langkap.
REGU Seri Kenangan Pelong muncul juara Tertutup Kampung Langkap.
Ahmad Rabiul Zulkifli


Setiu, Terengganu: Percubaan julung kali empat pemuda menyertai kejohanan sepak takraw Tertutup Kampung Langkap membuahkan hasil apabila muncul juara pertandingan itu, baru-baru ini.

Regu Seri Kenangan Pelong yang diwakili Mohd Fahmi Mohd Sani, Amirul Amin Abd Majid, Mohd Zainal Abidin Mustafa dan Mohd Hairy Aizat Mohd Nazri berjaya mengetepikan saingan 24 regu lain.

Pada perlawanan akhir, regu itu berjaya menewaskan regu Langkap D selepas bertarung dalam tiga set 25-24, 20-21, 15-12.

Kemenangan itu membolehkan Seri Kenangan Pelong membawa pulang hadiah wang tunai RM300, hamper dan pingat.

Kejayaan pasukan itu lebih manis apabila apit kanannya Fahmi dinobat sebagai pemain terbaik dan apit kanan terbaik kejohanan.

Fahmi berkata, regunya tidak meletakkan sebarang sasaran pada kejohanan itu kerana banyak regu yang berkebolehan dan berpengalaman turut menyertainya.

“Kami juga hanya sempat menjalani latihan selama tiga hari untuk menyertai kejohanan dan penyertaan ini lebih kepada untuk menimba pengalaman.

“Kemenangan ini secara tidak langsung memberi motivasi kepada kami untuk kekal sebagai satu regu dan menjalani latihan dengan lebih gigih.

“Kami bercadang untuk menyertai lebih banyak kejohanan sepak takraw sepanjang tahun ini,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Langkap Datuk Sabri Mohd Noor berkata, penyertaan golongan muda pada kejohanan itu meningkat berbanding tahun lalu dan ia membuktikan semakin ramai bakat baru dapat ditonjolkan.

“Tujuan kejohanan ini dianjurkan juga adalah untuk mencungkil bakat baru seterusnya diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

“Regu yang menjadi juara kejohanan ini secara tidak langsung akan mewakili DUN Langkap ke Kejohanan Piala Pegawai Pejabat Tanah yang diadakan dalam masa terdekat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Februari 2017 @ 7:28 AM