AHMAD (tiga dari kiri), Charouck (empat dari kanan) dan Abdul Halim (dua dari kiri) pada sidang media di Bangkok, semalam.
AHMAD (tiga dari kiri), Charouck (empat dari kanan) dan Abdul Halim (dua dari kiri) pada sidang media di Bangkok, semalam.

Bangkok : Tatkala pasukan tuan rumah, Thailand sudah bersedia membuat peminat mereka teruja pada Kejohanan Siri Super Akhir Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) 2014/15 yang bermula hari ini, Malaysia pula bertekad menampilkan aksi meyakinkan di peringkat kumpulan.

Bukan menidakkan peluang regu negara dalam kejohanan yang bakal berlangsung di Gimnasium Perbandaran Nakhom Pathom itu, namun bagi Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) Datuk Ahmad Ismail, yang lebih penting mereka harus menamatkan aksi peringkat kumpulan dengan status juara sebelum melangkah ke separuh akhir.

“Sasaran saya kena selari dengan ketua jurulatih (Abdul Talib Mohd), jadi lebih baik kita harungi satu demi satu dahulu.

“Sekarang sasaran kami adalah mahu cuba yang terbaik untuk menjadi juara kumpulan,” katanya yang juga Timbalan Presiden ISTAF.

Beliau ditemui selepas sidang media bersama Presiden ISTAF Jeneral Charouck Arirachakaran dan Setiausaha Agung Datuk Abdul Halim Kader.

Jelasnya, mereka seboleh-bolehnya mahu mara ke separuh akhir. Keupayaan muncul juara kumpulan akan memudahkan laluan selepas itu kerana dapat mengelak bertemu Thailand yang berpeluang cerah muncul juara Kumpulan A.

Apatah lagi dikhabarkan regu Korea Selatan yang menjadi pencabar utama skuad negara dalam Kumpulan B tidak menurunkan barisan pemain mereka yang memenangi pingat perak Sukan Asia Incheon 2014.

“Saya belum lihat lagi senarai pemain mereka, tapi jika betul bukan regu utama, ia akan memudahkan laluan kita untuk menjadi juara kumpulan.”

Pasukan kebangsaan dibarisi tekong Mohammad Syahir Mohd Rosdi dan Ahmad Aziat Mohd Nor Azmi, Mohd Khairul Zaman Hamir Akhbar dan Mohd Zamree Mohd Dahan (apit kanan) serta Farhan Adam sebagai apit kiri.

Mengenai regu wanita, Ahmad tidak menafikan tugas mencabar digalas jurulatih Md Fikri Md Nor untuk mengharungi cabaran peringkat kumpulan yang turut meletakkan mereka bersama Myanmar dan Thailand.

“Memang bukan sesuatu yang mudah. Sudah beberapa kali mereka diletakkan dengan pasukan gergasi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Oktober 2015 @ 7:29 AM