AIZAT (tiga dari kanan) dan Siti Nor Suhaida (dua dari kanan) mewakili pasukan Awan Merah Selangor bersama pemain PDRM Kuala Lumpur. FOTO Mohd Amin Jalil
AIZAT (tiga dari kanan) dan Siti Nor Suhaida (dua dari kanan) mewakili pasukan Awan Merah Selangor bersama pemain PDRM Kuala Lumpur. FOTO Mohd Amin Jalil
Mohd Amin Jalil


Seremban: "Biarpun pasukan saya tewas tapi saya puas hati kerana dapat pengalaman berharga beraksi menentang pasukan lelaki," kata pemain sepak takraw kebangsaan, Siti Nor Suhaida Jafri.

Dia beraksi sebagai tekong mewakili pasukan Awan Merah dari Selangor menentang Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kuala Lumpur dalam Kejohanan Sepak Takraw Antara Regu Terbuka Negeri Sembilan 2022, yang diadakan di Pusat Sukan Paroi, di sini, hari ini.

Siti Nor Suhaida berkata, persetujuannya untuk mewakili Awan Merah adalah atas sokongan suaminya, Aizat Mohd Norazmi, yang juga pemain sepak takraw kebangsaan.

"Suami mempelawa saya beraksi dalam pasukan yang dianggotai pemain lelaki dan menentang pasukan lelaki kerana melaluinya, saya dapat menimba pengalaman selain menguji kemampuan.

"Saya bersetuju beraksi dengan suami bertindak sebagai apit kiri dan seorang lagi pemain, Ahmad Faizul sebagai apit kanan.

"Bagaimanapun dalam pertembungan dengan PDRM Kuala Lumpur itu, pasukan kami (Awan Merah) tewas 2-1, tapi saya puas hati kerana dapat menunjukkan persembahan terbaik sebagai tekong," katanya selepas perlawanan berkenaan, petang ini.

SITI Nor Suhaida bertindak sebagai tekong Awan Merah. FOTO Mohd Amin Jalil
SITI Nor Suhaida bertindak sebagai tekong Awan Merah. FOTO Mohd Amin Jalil

Siti Nor Suhaida berkata, dia bersama skuad kebangsaan berjaya membawa balik dua pingat gangsa pada temasya Sukan Sea Hanoi, baru-baru ini.

"Saya berharap dapat beraksi seperti ini lagi pada kejohanan yang lain," katanya.

Sementara itu, Aizat berkata, dia dan isteri kali pertama beraksi sebagai satu pasukan dalam kejohanan tempatan.

Menurutnya, dia mempelawa isteri menyertai kejohanan itu bertujuan membantunya memantapkan lagi prestasi dengan menentang pasukan lelaki kerana kaedah itu seperti itu dipraktikkan di Thailand.

"Thailand sudah lama mempraktikan kategori regu campuran dan dengan cara ini, prestasi pemain wanita mereka setanding dengan pasukan lelaki.

"Saya lihat dia (isteri) perlu tingkatkan lagi prestasi dan menyertai lebih banyak pertandingan bagi membolehkan dia dapat menguasai gelanggang dengan lebih baik.

"Namun, saya gembira dengan persembahan dia walaupun pasukan kami tewas," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Sepaktakraw Negeri Sembilan (Pestans), Wan Mohd Husni Abdullah berkata kejohanan adalah anjuran Kelab Sukan dan Kebajikan Paroi (Kesukep) dengan sokongan Pestans.

"Dua kategori dipertandingkan iaitu senior terbuka yang disertai 33 regu serta veteran (umur 140 bersih) membabitkan 24 regu.

"Selain regu dari Negeri Sembilan, pasukan lain termasuk Pahang, Melaka, Selangor, Putrajaya, Johor, Perak dan Kelantan dengan menawarkan hadiah wang tunai RM2,000 dan RM1,000 bagi juara setiap kategori," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mei 2022 @ 5:20 PM