KETUA Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh (kanan) bermesra dengan pemain Melaka yang menjuarai Piala Emas Khir Johari. -FOTO Nazri Abu Bakar
KETUA Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh (kanan) bermesra dengan pemain Melaka yang menjuarai Piala Emas Khir Johari. -FOTO Nazri Abu Bakar
Oleh Nazri Abu Bakar


Melaka: Melaka menyasarkan untuk menjuarai Liga Sepak Takraw (STL) 2024 Ogos ini dalam misi meletakkan negeri berkenaan sebagai sebuah pasukan disegani.

Presiden Persatuan Sepak Takraw Melaka (PASTAM), Datuk Akramuddin Abd Aziz berkata, sasaran terbabit tidak mustahil untuk dicipta selepas mengakhiri kemarau 39 tahun menjuarai Piala Emas Khir Johari yang berlangsung di Stadium Abdul Halim, Alor Setar, Kedah baru-baru ini.

Justeru, skuad berkenaan memfokuskan usaha memperbaiki persembahan sekali gus mengekalkan momentum kemenangan pada kejohanan STL kelak.

"Sasaran kita untuk menjuarai STL 2024 Divisyen 1 dan seterusnya melayakkan Melaka menyertai Piala Kejuaraan STL 2024 yang dijangka berlangsung pada November nanti.

"Sekiranya ada rezeki, kita juga mahu membawa pulang piala kebanggaan semua iaitu Piala Tun Ali yang bakal berlangsung pada Disember ini," katanya.

Beliau berkata selepas menghadiri dan meraikan pasukan sepak takraw Melaka yang melakar kejuaraan pada Piala Emas Khir Johari di bandaraya Melaka.

Terdahulu pemain Melaka dibarisi oleh Regu A Melaka, Syahir Rosdi (tekong), Mohd Khairul Zaman Hamir Akhbar (apit kanan) dan Mohd Muqlis Borhan (apit kiri) manakala Regu B Melaka pula terdiri daripada Shakir Jamal (tekong), Arif Daniel Arifin (apit kanan) dan Raqib Effendi (apit kiri) berarak diiringi pasukan kompang dari Melaka Sentral ke Menara Taming Sari.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Februari 2024 @ 12:50 PM