ABDUL Talib (tengah) yakin bentuk regu mantap. FOTO/FAIL
ABDUL Talib (tengah) yakin bentuk regu mantap. FOTO/FAIL
Azlan Muhammad Zain


KETUA jurulatih negara, Abdul Talib Ahmad masih menilai tiga pemain terbaik bagi membentuk regu utama dalam misi mencapai emas di Sukan Asia, Ogos nanti.

Jelasnya, tempoh berbaki kira-kira empat bulan akan digunakan sebaik mungkin dalam menilai karakter dan prestasi pemain.

“Selepas menyertai satu kejohanan tempatan di Krabi, Thailand pada bulan lalu, saya akan menghantar pemain menyertai satu lagi pertandingan merebut Mayor Cup di Hatyai hujung bulan nanti.

“Regu negara diketuai Mohd Syahir Rosdi muncul naib juara di Krabi dan saya berharap rentak konsisten mampu diteruskan hujung bulan nanti,” tambahnya.

Abdul Talib jelas berpuas hati dengan kem latihan ala komando yang dijalankan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) apabila terdapat perubahan ketara dalam kalangan pemain.

“Setakat ini,saya lihat memang ada peningkatan dari segi disiplin dan komitmen pemain. Saya berharap ia mampu dikekalkan sehingga Sukan Asia nanti,” tambahnya.

Saingan lelaki sepak takraw Sukan Asia di Indonesia pada Ogos mempertandingkan empat acara iaitu regu, berpasukan regu, beregu berpasukan dan quadrant (berempat).

Namun setiap negara hanya boleh menyertai dua acara dengan Malaysia masih belum memutuskan acara yang mahu disertai.

Berdasarkan senarai acara, peluang terbaik Malaysia meraih emas adalah menerusi acara regu kerana muncul juara dua edisi Sukan SEA (2015 dan 2017) selain menewaskan Thailand di Siri Super ISTAF pada 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 April 2018 @ 6:22 PM