AKSI Farhan Adam (kiri) ketika bertemu Thailand, semalam. FOTO HAZREEN MOHAMAD
AKSI Farhan Adam (kiri) ketika bertemu Thailand, semalam. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Kehadiran ibu di perlawanan akhir ketika bertemu Thailand menyuntik semangat ketua pasukan negara, Farhan Adam untuk membantu pasukan kebangsaan meraih kejuaraan acara regu Piala Dunia Sepak Takraw 2024, di Stadium Titiwangsa, di sini, semalam.

Farhan berkata, kehadiran ibunya di Stadium Titiwangsa begitu bermakna baginya dan itu memberi semangat tambahan untuk dia beraksi sehabis baik bagi memastikan kejuaraan menjadi milik Malaysia dan dapat meraikan malam bersejarah itu bersama-sama orang terpenting dalam hidupnya.

Jelas Farhan, dia tidak menyangka ibunya akan hadir ke stadium untuk menyaksikan sendiri perlawanan menentang Thailand dan dia juga akui, kata-kata dari seorang insan bernama ibu sangat memberi makna.

"Isteri saya setiap kali perlawanan akan hadir dan mak saya pun datang (semalam). Bersyukur sangat sebab selepas arwah bapa meninggal, ini pertama kali mak datang tengok perlawanan (saya bermain). Mak saya pun nak pergi haji, jadi ini satu perkara yang menggembirakan saya bila mak saya datang.

"Betul doa seorang ibu untuk seorang anak memang tidak terkata, memang nombor satu. Macam mana pun saya perlukan emak saya. Selain itu, saudara mara saya pun datang beri sokongan," katanya.

Mengulas kejayaan menumbangkan gergasi sepak takraw itu, Farhan menyatakan sistem baharu 15 mata juga sedikit sebanyak membantu Malaysia dalam perlawanan itu selain kehadiran penonton yang begitu ramai ke stadium memberi sokongan tanpa henti-henti menjadi sebahagian faktor kejayaan mereka.

"Sebenarnya salah satu sistem baru (dapat menang ke atas Thailand) dan paling utama hari ini (semalam) dengan bantuan penyokong, ia dapat naikkan semangat kami, mereka beri tekanan kepada pasukan Thailand.

"Kejayaan ini sangat-sangat bermakna, saya paling gembira sebab momen ini susah nak dapat kerana setiap kali final, kita kalah dengan Thailand tapi kali ini dua-dua acara (double dan regu) kita dapat kalahkan mereka. Thailand tak sehebat mana yang semua khabarkan, buktinya Malaysia tetap kalahkan mereka," kata Farhan.

Terdahulu Arena Metro melaporkan Malaysia menamatkan badi ke atas Thailand untuk muncul juara acara regu selepas mencatatkan kemenangan 2-0 di final Piala Dunia Sepak Takraw 2024, semalam.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Titiwangsa trio negara yang ketuai oleh Farhan Adam (apit kiri), Mohammad Syahir Mohd Rosdi (tekong), dan Mohamad Azlan Alias (apit kanan) bagai di rasuk apabila mempamerkan prestasi luar biasa dan bermain dengan begitu cemerlang tanpa banyak melakukan kesilapan untuk menang straight set 15-7, 15-12.

Untuk rekod, kali terakhir Malaysia menang dalam acara itu adalah sembilan tahun lalu di Kejohanan Sepak Takraw Siri Super Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) musim 2014-2015.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2024 @ 5:06 PM