AHOK mengambil tempat duduknya di mahkamah, semalam. - AFP
AHOK mengambil tempat duduknya di mahkamah, semalam. - AFP
AFP

Jakarta: Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama atau lebih dikenali sebagai Ahok semalam menjerit memarahi saksi yang memberi keterangan dalam perbicaraan terhadapnya yang dituduh menghina Islam.

Dalam pada itu, ratusan penyokong dan penentang gabenor itu saling melontarkan kata kesat ketika berhimpun di luar Auditorium Kementerian Pertanian di Jakarta Selatan, tempat perbicaraan diadakan.

Ahok penganut Kristian kedua dan etnik Cina pertama mejadi gabenor ibu negara Indonesia itu berdepan tuduhan menghina Islam selepas menggunakan sepotong ayat al-Quran ketika berkempen untuk pilihan raya daerah yang akan berlangsung Februari ini.

Ratusan ribu penyokong kumpulan Islam menyertai tunjuk perasaan beberapa bulan lalu untuk mendesak dia ditangkap.

Ahok bagaimanapun menafikan tuduhan terhadapnya dan penyokongnya mendakwa kes itu bermotifkan politik.

Dia yang berdepan hukuman penjara lima tahun jika didapati bersalah mula dibicarakan bulan lalu dan prosiding semalam, hari keempat berkait dengan kes itu, melihat beberapa saksi memberi keterangan, termasuk ketua cawangan Barisan Pembela Islam (FPI), Muhsin Alattas.

Dalam keterangannya kepada mahkamah, tu, Muhsin memberitahu: “Saya membuat laporan polis kerana dia menghina al-Quran.”

Namun kata-katanya itu terus disangkal Ahok yang memang terkenal dengan sifat panas baran.

“Siapa yang memberikan FPI kuasa untuk bercakap bagi semua orang Islam? Ramai orang Islam tidak sukakan FPI,” katanya.

Saksi itu kemudian menjawab: “Tanya sajalah FPI.”

Dalam ucapannya ketika berkempen di Pulau Seribu September lalu itu, Ahok menuduh lawannya menggunakan ayat al-Quran yang mencadangkan pengundi Muslim tidak patut memilih penganut agama lain menjadi pemimpin.

Menurut Ahok, ayat itu bertujuan menghalang pengundi mengundinya.

Kes itu yang dijangka memakan masa beberapa minggu mencetuskan kebimbangan mengenai toleransi beragama di Indonesia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 January 2017 @ 9:35 AM