Agensi

Jakarta: Kumpulan Islam tetap berkeras mahu meneruskan perhimpunan besar-besaran di Jakarta esok bagi membantah Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama walaupun pihak berkuasa mengharamkan sebarang demonstrasi.

Forum Umat Islam (FUI) berkata, perhimpunan di Monumen Nasional itu tetap diteruskan seperti yang dirancang dan tidak akan dibatalkan kerana ia tidak melanggar undang-undang.

“Perhimpunan ini tidak dibatalkan kerana tidak ada satu pun undang-undang yang tidak kami patuhi.

“Apa yang dilakukan oleh FUI sudah mengikut undang-undang apabila terlebih dahulu memberi notis kepada polis.

“Kami menyeru semua umat Islam supaya tidak ragu-ragu dan khuatir untuk menyertai perhimpunan ini,” kata setiausaha agung FUI, Muhammad Al Khaththath, semalam.

Perhimpunan berkenaan dijangka disertai beberapa kumpulan Islam termasuk Barisan Pembela Islam (FPI) yang sebelum ini mengadakan tunjuk perasaan membantah Basuki atau dikenali sebagai Ahok.

Polis Jakarta kelmarin tidak membenarkan perhimpunan berkenaan kerana diadakan ketika tempoh bertenang yang melarang sebarang kempen menjelang hari pengundian pilihan raya gabenor Jakarta pada Rabu ini.

Perhimpunan itu juga dianggap polis bermotif politik dan memberi amaran untuk mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa yang melanggar larangan berkenaan.

Pilihan raya gabenor Jakarta berlangsung sengit dengan Ahok menjadi calon pilihan untuk mempertahankan jawatan itu walaupun berdepan pelbagai kontroversi.

Ahok sebelum ini mencetuskan kemarahan kumpulan Islam apabila mendakwa lawannya menggunakan ayat al-Quran untuk menipu pengundi supaya tidak memilihnya.

Kenyataan itu menyebabkan beberapa kumpulan Islam yang diketuai FPI mengadakan beberapa perhimpunan besar-besaran bagi mendesak Ahok yang beragama Kristian ditangkap.

Ahok kini berdepan perbicaraan mahkamah selepas didakwa menghina agama.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Februari 2017 @ 6:07 AM