AHOK bergambar dengan aktres Astrid Tiar ketika berkempen di Menteng, Jakarta, minggu lalu. - Antara
AHOK bergambar dengan aktres Astrid Tiar ketika berkempen di Menteng, Jakarta, minggu lalu. - Antara
Agensi

Jakarta: Pejabat Peguam Negara Indonesia membentuk satu pasukan bagi mengkaji kes menghina agama Islam membabitkan Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama atau Ahok selepas menerima fail siasatan kes itu daripada polis semalam.

Pegawai Peguam Negara Bagi Jenayah Am, Noor Rahmad berkata, dia sudah melantik 13 pendakwa raya untuk mengkaji kes itu.

“Kami sudah melantik pendakwa raya yang boleh dipercayai. Mereka terdiri daripada penganut pelbagai agama - Kristian dan Muslim,” katanya kepada wartawan di ibu pejabat Peguam Negara di Jakarta Selatan, semalam.

Menurutnya, pendakwa raya Ali Mukartono akan mengetuai pasukan kes Ahok.

“Mereka komited untuk menangani kes itu secara adil. Kami akan bersikap adil dan terus. Kami serius dalam menangani kes ini,” katanya.

Ahok dinamakan suspek dalam kes menghina agama pada 16 November lalu selepas dia menggunakan ayat suci al-Quran ketika berkempen dalam pilihan raya gabenor Jakarta di Kepulauan Seribu September lalu.

Pilihan raya berkenaan akan berlangsung Februari depan.

Sementara itu, Ahok menyambut baik tindakan polis menyerahkan kes itu kepada Pejabat Peguam Negara kerana yakin ia akan mempercepatkan perbicaraan.

“Ya, saya menyambut baik. Makin cepat dibicarakan makin bagus supaya saya dapat buktikan bahawa saya tidak berniat menghina agama mana pun.

“Kelak, apabila dibicarakan, saya akan membuktikan saya tidak menghina agama orang lain. Keluarga besar saya juga ramai yang muslim. Jika saya menghina Islam, sama seperti saya menghina keluarga saya,” kata Ahok kepada wartawan di Jakarta, pagi semalam.

Ahok ialah gabenor Jakarta kedua beragama Kristian dan yang pertama dari etnik Cina.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 November 2016 @ 5:12 AM