RIZIEQ melambai kepada penyokongnya ketika hadir ke mahkamah di Jakarta semalam bagi memberi keterangan terhadap Ahok. - AFP
RIZIEQ melambai kepada penyokongnya ketika hadir ke mahkamah di Jakarta semalam bagi memberi keterangan terhadap Ahok. - AFP
AFP

Jakarta: Pemimpin Barisan Pembela Islam (FPI), Rizieq Shihab semalam memberitahu mahkamah bahawa Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama menghina Islam apabila memetik ayat suci al-Quran ketika berkempen.

Rizieq yang menggerakkan puluhan ribu penunjuk perasaan bagi membantah Basuki atau dikenali sebagai Ahok adalah saksi terbaru memberi keterangan dalam perbicaraan terhadap gabenor itu.

Dia memberi keterangan sebagai pakar agama bagi pihak pendakwa raya.

Ahok mencetuskan kemarahan kumpulan Islam apabila mendakwa lawannya dalam pilihan raya gabenor Jakarta menipu pengundi menggunakan surah al-Maidah supaya tidak memilih pemimpin bukan Islam.

Rizieq yang memakai jubah dan serban putih memberitahu mahkamah bahawa ucapan Ahok itu secara keseluruhannya bersifat menghina agama.

“Saya mahu menegaskan siapa yang ditipu dan ia adalah orang Islam yang hadir mendengar ucapan tertuduh,” katanya.

Menurutnya, Ahok yang hadir dalam perbicaraan itu memutar belitkan ayat suci al-Quran.

“Ini yang kami maksudkan sebagai menghina agama,” tegasnya.

Menurut undang-undang di Indonesia, mereka yang didapati bersalah menghina agama boleh dihukum penjara lima tahun.

Walaupun berdepan dakwaan berkenaan, Ahok mendahului pilihan raya gabenor Jakarta pada bulan lalu tetapi perlu bersaing dalam pusingan kedua pada April depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mac 2017 @ 7:19 AM