AHOK (kiri) dan Djarot dalam sidang media selepas keluar dari majlis pengumuman pusingan kedua pilihan raya umum Jakarta, kelmarin. - AFP
AHOK (kiri) dan Djarot dalam sidang media selepas keluar dari majlis pengumuman pusingan kedua pilihan raya umum Jakarta, kelmarin. - AFP
Agensi

Jakarta: Suruhanjaya Pilihan Raya Umum (KPU) Jakarta secara rasmi kelmarin mengumuman Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama akan berdepan bekas Menteri Pendidikan, Anies Baswedan dalam pusingan kedua pemilihan gabenor Jakarta pada 19 April ini.

Dalam pusingan pertama, Basuki atau dikenali sebagai Ahok menduduki tempat pertama diikuti rapat Anies. Seorang lagi calon, Agus Yudhoyono meraih undi paling sedikit, sekali gus tersingkir daripada saingan.

Ahok yang berpasangan dengan calon naib presiden, Djarot Saiful Hidayat mendapat 2,364,577 undi diikuti rapat Anies dan pasangannya, Sandiaga Uno ang memperoleh 2,197,333 undi.

Pusingan kedua terpaksa diadakan kerana tiada calon yang memperoleh lebih 50 peratus undi untuk diumumkan sebagai pemenang mutlak.

Pengerusi KPU Jakarta berkata, tarikh berkempen untuk pilihan raya pusingan kedua itu bermula esok dan berakhir pada 15 April ini.

Ujarnya, Ahok sekali lagi perlu bercuti daripada jawatannya.

Pengumuman keputusan rasmi itu juga dicemari dengan insiden Ahok dan Djarot meninggalkan majlis itu kerana bermula lewat.

Majlis itu dijadual bermula jam 7.30 petang (waktu tempatan) tetapi sehingga jam 8 malam acara itu masih belum dimulakan.

Ahok dan Djarot bersama penyokongnya mendakwa mereka sudah berada di hotel itu sejak jam 7 petang.

Gabenor Jakarta itu sebelum ini dilihat sebagai calon pilihan tetapi sokongan terhadapnya terjejas teruk selepas berdepan dakwaan menghina agama Islam.

Ahok yang beragama Kristian dan dari etnik Cina dituduh menghina ayat suci al-Quran ketika berucap dalam kempen pilihan raya tahun lalu.

Dia kini berdepan perbicaraan di mahkamah dan boleh dihukum penjara sekiranya didapati bersalah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mac 2017 @ 6:57 AM