FADZIL (dua dari kanan) bersama Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Megat Mohd Aminuddin Megat Alias (tiga dari kanan) melihat sebahagian kenderaan yang dirampas. FOTO Mohd Fadly Samsudin
FADZIL (dua dari kanan) bersama Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Megat Mohd Aminuddin Megat Alias (tiga dari kanan) melihat sebahagian kenderaan yang dirampas. FOTO Mohd Fadly Samsudin
Mohd Fadly Samsudin


Serdang: Polis menahan 14 individu serta merampas 10 kenderaan dalam Op Lejang Mewah, pada 13 Disember lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, sejak awal November lalu berlaku kes curi kenderaan mewah di sekitar Serdang, Kajang, Gombak, Sepang dan Subang Jaya.

Menurutnya, sehubungan itu Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor mewujudkan satu pasukan khas Op Lejang Mewah di setiap daerah berkenaan.

"Pada 13 Disember lalu, hasil maklumat orang awam pasukan khas Op Lejang Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang menahan dua lelaki dan merampas dua kenderaan iaitu Toyota Vellfire dan Proton Satria di Subang Jaya.

"Penahanan dua lelaki itu membawa kepada tangkapan seramai 12 lagi individu di Shah Alam, Sepang, Kajang, Kuala Langat, Petaling Jaya serta beberapa negeri termasuk Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu, Johor dan Kuala Lumpur," katanya pada sidang media di IPD Serdang, hari ini.

Beliau berkata, operasi selama dua minggu itu berjaya merampas 10 kenderaan jenis Toyota Vellfire, Toyota Hilux, Proton Satria, Honda Integra dan Toyota Wish.

"Dengan tertangkapnya kumpulan terbabit, polis berjaya menyelesaikan lapan kes dengan nilai rampasan sebanyak RM800,000," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Disember 2016 @ 12:14 PM