Kereta pasangan suami isteri yang rosak akibat dihempap pokok tumbang di Jalan Lencong Timur selepas lampu isyarat Bandar Perdana. FOTO IHSAN PDRM
Kereta pasangan suami isteri yang rosak akibat dihempap pokok tumbang di Jalan Lencong Timur selepas lampu isyarat Bandar Perdana. FOTO IHSAN PDRM
Zuliaty Zulkiffli


Sungai Petani: Sepasang suami isteri terselamat selepas berjaya keluar dari kereta Toyota Vios dinaiki mereka yang dihempap pokok tumbang di Jalan Lencong Timur selepas lampu isyarat, Bandar Perdana, di sini hari ini.

Dalam kejadian itu, Yeow Seng Chye, 66, tidak mengalami kecederaan manakala isterinya, Lim Ah Yoong, 64, sakit di bahagian dada.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, Pusat Kawalan Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 2.20 petang berhubung kejadian pokok tumbang dan menghempap sebuah kereta di lokasi kejadian.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati, mangsa bersama isterinya menaiki kereta itu dan sedang dalam perjalanan ke Taman Sejati untuk urusan bank.

"Namun sebaik tiba di lokasi kejadian, secara tiba-tiba sebatang pokok dipercayai tumbang dan menghempap kenderaan mangsa.

"Berikutan kejadian itu, lelaki warga emas itu dan isterinya berjaya keluar sendiri dari kenderaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Wan Azharuddin berkata, isteri mangsa yang mengalami sakit di bahagian dada dinasihatkan untuk dapatkan rawatan lanjut di hospital.

Beliau berkata, bagaimanapun tiada kenderaan dan mangsa lain yang terbabit dalam kejadian itu.

"Unit Kereta Peronda (MPV) Echo IPD Kuala Muda dan pihak Bomba Sungai Petani yang sampai di lokasi untuk melakukan kawalan di tempat kejadian dan kerja pembersihan.

"Kerja-kerja pembersihan kemudian dilakukan oleh pihak Bomba dan laluan dibuka semula pada jam 5.45 petang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2024 @ 8:36 PM