Mohd Azizi Abu Naim (dua dari kiri) ketika hadir di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.
Mohd Azizi Abu Naim (dua dari kiri) ketika hadir di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.
Ahmad Johari Mohd Ali

Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan injunksi sementara bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim untuk menghentikan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN kawasan itu atas alasan beliau masih penyandang yang sah.

Keputusan itu dibuat Pesuruhjaya Kehakiman, Roz Mawar Rozain selepas memutuskan bahawa Mohd Azizi tidak berdepan kemudaratan sekiranya PRK itu dijalankan kerana beliau masih boleh menyertai pilihan raya berkenaan.

Selain itu, mahkamah menyatakan bahawa injunksi sementara itu tidak boleh diberikan bagi menghalang SPR daripada menjalankan tugasnya mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Peguam Chetan Jethwani mewakili BERSATU selaku defendan, ketika ditemui media selepas prosiding yang dijalankan dalam kamar berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dengan ini boleh mengadakan Mesyuarat Khas Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri yang dijadualkan esok.

Beliau berkata, permohonan injunksi penuh akan didengar pada 28 Ogos ini.

Pada prosiding itu, Mohd Azizi diwakili peguam, Datuk Seri Rajan Navaratnam manakala SPR diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambaly.

Mahkamah turut memerintahkan Mohd Azizi membayar kos RM7,000 bagi setiap defendan.

Dalam saman pemula yang difailkan pada 25 Jun lalu, Mohd Azizi selaku plaintif menamakan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Setiausaha Agung Datuk Seri Hamzah Zainudin, Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah dan SPR selaku defendan.

Beliau memohon perisytiharan untuk menghentikan SPR daripada mengadakan pilihan raya di kawasan DUN berkenaan dan memohon perisytiharan bahawa kerusi DUN itu adalah tidak kosong dan masih disandang olehnya.

Mohd Azizi juga memohon perisytiharan bahawa pilihan raya kecil bagi kerusi DUN Nenggiri tidak boleh dijalankan dan dilakukan oleh SPR kerana ia masih disandang olehnya.

Turut dipohon, perisytiharan bahawa pemecatan jawatan dan keahliannya dalam BERSATU melalui notis bertarikh 12 Jun lalu adalah pemecatan yang tidak sah.

Mohd Azizi juga memohon perisytiharan bahawa Surat Makluman daripada Mohd Amar kepada SPR bahawa kerusi ADUN Nenggiri kosong, digantung perlaksanaannya.

Plaintif juga memohon perisytiharan bahawa Surat Makluman itu adalah tidak sah dan batal, dan pemecatan jawatannya daripada BERSATU adalah berniat jahat.

Dalam tuntutan itu, Mohd Azizi menegaskan bahawa pindaan kepada Fasal 10 perlembagaan BERSATU yang menetapkan keahlian seseorang akan dihentikan jika dia menyokong saingan politik, adalah tidak berperlembagaan.

Media sebelum ini melaporkan, Mohd Amar mengumumkan kerusi DUN Nenggiri dikosongkan.

Keputusan itu dibuat selepas DUN Kelantan pada 13 Jun menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan daripada seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan BERSATU mengenai keahlian Mohd Azizi Abu Naim yang hilang daripada BERSATU.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2024 @ 8:29 PM