BEN (tengah) bersama juara wanita, Mirabel dan pemenang anugerah pemain amatur terbaik, Hayden Hah.
BEN (tengah) bersama juara wanita, Mirabel dan pemenang anugerah pemain amatur terbaik, Hayden Hah.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Bintang golf veteran, Ben Leong berada pada kelas tersendiri apabila merangkul Piala Fortuner di Sarawak, hari ini, dengan perbezaan empat pukulan untuk merangkul kejuaraan sulungnya dalam siri Jelajah Toyota.

Ben yang mendahului dua hari pertama, cemerlang melakukan lima birdie untuk lima bawah par 65 dan mengakhiri saingan dengan jumlah pukulan keseluruhan 16 bawah par 194.

Ia membolehkan pemain berusia 38 tahun itu mengatasi dua pencabar terdekatnya, Daeng Abdul Rahman Abdul Aziz dan Edven Ying dengan empat pukulan.

Daeng dan Edven berkongsi kedudukan tempat kedua selepas melakukan 66 pukulan.

Tempat keempat menjadi milik Khor Kheng Hwai, yang mencatat 67 untuk dengan jumlah terkumpul 199 manakala Malcolm Ting melengkapkan kedudukan lima teratas selepas menamatkan kempennya dengan 67 dan catatan keseluruhan 202.

"Saya gembira kerana akhirnya dapat menempah kejayaan di Jelajah Toyota," kata Ben yang memiliki satu gelaran Jelajah Asia.

Ben sempat memuji bintang meningkat naik Edven, yang baharu berusia 21 tahun, selepas memberikan saingan sengit kepadanya pada kejohanan kali ini.

"Edven memiliki bakat menakjubkan. Saya jangka dia akan mencipta impak besar di kancah golf profesional tanah air kelak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2024 @ 9:39 PM