KENYATAAN terbaru Selangor FC selepas MFL membuat pertimbangan semula terhadap empat hukuman dikenakan sebelum ini. FOTO FB SELANGOR FC
KENYATAAN terbaru Selangor FC selepas MFL membuat pertimbangan semula terhadap empat hukuman dikenakan sebelum ini. FOTO FB SELANGOR FC
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Pasukan Selangor FC mengambil maklum mengenai hukuman dikurangkan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan akan menghantar rayuan kepada mereka untuk proses selanjutnya.

Menerusi kenyataan rasmi Selangor FC malam ini, skuad Gergasi Merah akan melakukan perkara sedemikian selepas MFL mengambil pendekatan pusingan U untuk mengubah keputusan mereka dengan begitu pantas selepas menerima kritikan cukup hebat daripada orang ramai termasuk titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menzahirkan rasa kecewa dan amat dukacita dengan keputusan ahli MFL.

"Selangor FC mengambil maklum berkenaan pertimbangan semula keputusan yang dibuat hari ini oleh Ahli Lembaga Pengarah MFL mengenai ketidakhadiran Selangor FC ke perlawanan Piala Sumbangsih 2024.

"Untuk makluman, Selangor FC belum memfailkan sebarang rayuan kepada MFL. Pihak kelab akan memfailkan rayuan berdasarkan keputusan telah dipertimbangkan semula oleh Ahli Lembaga Pengarah MFL berlandaskan peraturan yang berkaitan," katanya.

Menerusi satu kenyataan, MFL itu membatalkan keputusan pemotongan tiga mata dan perlawanan tanpa penonton membabitkan aksi antara Selangor FC dan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Malah, MFL mengurangkan denda daripada RM100,000 ke RM60,000 terhadap Selangor FC.

Bagaimanapun, Selangor FC diberi tempoh untuk membuat rayuan selama tiga hari daripada tarikh surat ini (27 Jun 2024) seperti yang termaktub dalam Aturan 4, Kaedah 3, Kaedah-kaedah Badan Penguatkuasa Peraturan, Manual Liga Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2024 @ 9:35 PM