YAHAYA  (kanan) menunjukkan kenderaan mewah yang  ditemui selepas beberapa ahli Geng Kluang berjaya ditahan.
YAHAYA (kanan) menunjukkan kenderaan mewah yang ditemui selepas beberapa ahli Geng Kluang berjaya ditahan.
Oleh Fardy Bungga dan Nabihah Kamal

Subang Jaya: Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun dikesan menjadi ahli ‘Geng Kluang’ yang aktif melarikan kenderaan mewah sebelum dijual ke negara jiran.

Kegiatan jenayah itu terbongkar selepas remaja itu diberkas polis ketika sedang memandu pacuan empat roda Toyota Hilux di susur masuk plaza tol Subang di sini, pada jam 2.10 petang, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, hasil soal siasat terhadap remaja itu membawa kepada penemuan dua lagi kenderaan curi disembunyikan di Pusat Perdagangan Kuchai di sini.

Menurutnya, polis menahan seorang lelaki berusia 22 tahun di Taman Kajang Mulia dan seorang jurujual barangan elektrik berusia 27 tahun beberapa jam kemudian yang dipercayai terbabit dalam kegiatan itu.

“Polis turut merampas lima Toyota Hilux termasuk sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire yang menggunakan nombor pendaftaran palsu.

“Polis mendapati kumpulan penjenayah yang bergiat aktif sejak empat bulan lalu itu menyasarkan kenderaan mewah.

“Suspek turut dikesan mengubah suai nombor casis pada kenderaan berkenaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, semalam.

Menurutnya, siasatan lanjut, dua suspek terbabit mempunyai dua rekod jenayah lampau mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 457 kanun yang sama.

“Semua kenderaan bernilai lebih RM700,000 yang berjaya dirampas itu pernah dilaporkan hilang di Bandar Sunway, USJ 8, Klang, Sri Muda dan Kelana Jaya.

“Semua suspek masih ditahan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” tegasnya.

Berdasarkan rekod sepanjang tiga bulan pertama tahun ini, IPD Subang Jaya menerima 15 laporan kes kehilangan kenderaan membabitkan tujuh kenderaan model Toyota Hilux, dua Toyota Vellfire dan enam lagi pelbagai model kereta.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 April 2015 @ 7:53 AM