Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa

Kuala Lumpur: Tujuh suspek kumpulan samun kereta mewah termasuk dua wanita dicekup dalam Ops Lejang oleh Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur dan Bukit Aman, sejak 5 Mei lalu hingga petang semalam.

Difahamkan, kumpulan itu dalam persediaan untuk melarikan kenderaan mewah itu ke negara jiran untuk proses penjualan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad, berkata susulan lima kenderaan mewah yang dilarikan dari sebuah bengkel baik pulih kenderaan di Cheras pada 19 April lalu, sepasukan polis dari JSJ KL dan Bukit Aman menjalankan risikan dan intipan untuk mengesan kenderaan berkenaan.

Katanya, dua daripada lima kenderaan itu masing-masing jenis Porsche Panamera dan Bentley ditemui di kawasan taman permainan di Taman Kota Sarang Semut, Kedah, Selasa lalu.

“Berikutan itu, pada 6.15 pagi tadi (semalam), dua lelaki dan seorang wanita tempatan ditahan di sebuah restoran di Mutiara Damansara, Selangor.

"Hasil tangkapan tiga suspek itu, pada 8 pagi, dua lagi lelaki dan seorang wanita dicekup dalam serbuan ke atas kondominium di Persiaran Tropicana, Petaling Jaya.

“Selain itu, polis turut merampas satu unit Toyota Vellfire dan Toyota Mark X bersama mereka," katanya.

Menurutnya, hasil soal siasat ke atas semua suspek itu, seorang lagi ahli kumpulan itu ditahan di sebuah apartment di Puchong Utama, pada 5 semalam.

“Range Rover pula dikesan di Kedah dan semua yang ditahan berusia antara 22 hingga 48 tahun. Mereka ditahan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Keseksaan untuk siasatan lanjut.

"Dua daripada suspek memiliki rekod jenayah lampau membabitkan kes samun dan seorang daripada suspek adalah dalang utama kumpulan itu," katanya.

Sebelum itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengucapkan syabas kepada pasukan berkenaan di atas kejayaan menumpaskan kumpulan samun kereta mewah melalui akaun Twitter @KBAB51.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mei 2015 @ 10:31 PM