ANTARA barangan kes yang dirampas. FOTO Ihsan Polis
ANTARA barangan kes yang dirampas. FOTO Ihsan Polis
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


POLIS menumpaskan sindiket penyeludupan minuman keras, sindiket pemalsuan pas pekerja sementara dan setem duti Kastam Diraja Malaysia (KDRM) selepas menahan 21 individu dalam tiga siri serbuan di Kajang, Subang Jaya dan Serdang, kelmarin.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman Datuk Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, serbuan dilakukan Cawangan Perisikan dan Siasatan Khas (CPSK) Pasukan Gerak Khas (PGK) selepas menerima maklumat awam.

"Serbuan pertama dilakukan di sebuah premis di Kajang berjaya menahan 17 lelaki berusia 24 hingga 51 tahun dipercayai anggota sindiket penyeludupan arak.

"Sebanyak 47,000 tin minuman keras seludup bernilai RM325,000 dirampas dalam operasi berkenaan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Acryl berkata, pihaknya turut merampas sebuah lori, van , wang tunai berjumlah RM8,000 serta enam pas pekerja sementara dipercayai palsu dengan nilai keseluruhan rampasan bernilai RM550,000.

"Susulan daripada penahanan suspek, polis menyerbu dua lagi premis di Subang Jaya dan Serdang seterusnya berjaya membongkar kegiatan pemalsuan hologram.

"Suspek berusia 50 hingga 70 tahun itu ditahan untuk siasatan lanjut. Polis turut merampas 104 hologram setem palsu, dua gulung kertas aluminium setem Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), 43 keping kertas aluminium (Visa Malaysia dan Pas Malaysia).

"Selain itu polis turut merampas sembilan bungkus setem KDRM yang dianggarkan mengandungi 130,000 setem duti," katanya.

Menurutnya, 17 individu berkenaan ditahan reman di Ibu Pejabat Polis daerah Kajang bermula semalam sehingga 13 Mei ini.

"Semua mereka ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 116(c) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.

"Sementara itu bagi pemalsuan dokumen dua suspek ditahan reman selama sehari dan dua lagi ditahan reman sehingga 10 Mei ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 55D Akta Imigresen," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mei 2020 @ 5:12 PM