Oleh Fardy Bungga dan Nabihah Kamal

Kuala Lumpur: Tiga lelaki termasuk seorang remaja berusia 17 tahun ditahan selepas didapati terbabit dalam sindiket curi kenderaan mewah bernilai lebih RM700,000 30 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli, berkata, tangkapan pertama membabitkan remaja itu selepas suspek dilihat memandu kenderaan jenis Toyota Hilux dalam keadaan mencurigakan di susur masuk plaza tol Subang.

Menurutnya, hasil soal siasat terhadap remaja itu membawa kepada penahanan dua lagi individu berusia 20 dan 27 tahun dalam dua serbuan berasingan di Taman Kajang Mulia.

"Hasil siasatan, polis merampas lima kenderaan jenis Toyota Hilux termasuk kereta yang dipandu suspek remaja berkenaan dan sebuah Toyota Vellfire yang menggunakan nombor pendaftaran palsu dan dilaporkan hilang sekitar tahun ini di beberapa lokasi berasingan.

"Polis mendapati kumpulan suspek ini sudah bergiat aktif sejak empat bulan lalu dengan mensasarkan kenderaan mewah untuk dijual di negara jiran dengan mengubahsuai nombor casis pada kenderaan berkenaan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya, sebentar tadi.

Menurutnya, semua suspek masih ditahan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 April 2015 @ 12:17 PM