MOHD Zaid (dua kanan) menunjukkan senjata api dan dadah yang dirampas. FOTO ihsan polis
MOHD Zaid (dua kanan) menunjukkan senjata api dan dadah yang dirampas. FOTO ihsan polis
Raja Noraina Raja Rahim


POLIS menahan dua lelaki disyaki sindiket pengedaran dadah dan merampas dadah serta senjata api bernilai lebih RM350,000 dalam serbuan di kawasan Sungai Chua, Kajang, kelmarin.

Serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, hasil siasatan dan risikan pihaknya berjaya menahan dua suspek berusia 42 dan 43 tahun jam 7.30 malam kelmarin.

"Ketika penahanan itu, polis merampas dadah jenis methamphetamine.

"Penahanan itu kemudian membawa kepada serbuan di sebuah apartmen servis di Subang Jaya.

"Hasil serbuan itu kita menemui dadah jenis methamphetamine dianggarkan seberat 2,313.90 gram dan empat laras senapang serta dua pucuk pistol. Kita turut menyita sebuah kenderaan dipercayai digunakan suspek untuk pengedaran dadah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Zaid berkata, siasatan mendapati bekalan dadah itu untuk pasaran di kawasan Lembah Klang dan Selangor.

"Kita percaya senjata api berkenaan diperoleh melalui pembelian secara dalam talian," katanya.

Katanya, kedua-dua suspek ditahan reman selama empat hari bermula semalam sehingga 18 Jun ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8 Akta Senjata 1960.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Jun 2020 @ 8:52 PM