Antoine Griezmann. FOTO Reuters
Antoine Griezmann. FOTO Reuters
Reuters

Hamburg, Jerman: Hubungan antara penyerang senior, Antoine Griezmann dan pengendali Perancis, Didier Deschamps bukan sekadar pemain dan jurulatih tetapi lebih daripada itu.

Griezmanna yang juga penolong ketua pasukan tidak menjadi pilihan Deschamps dalam aksi terakhir kumpulan menentang Poland dan situasi sama mungkin berlaku apabila bertemu Belgium di peringkat 16 terbaik, Isnin ini.

Walaupun Deschamps tidak mengesahkan perkara itu, namun beliau mengakui keputusan menurunkan Griezmann pada aksi penting itu bergantung kepada situasi dan kekuatan lawan.

"Semua itu termasuk dia (Griezmann) bergantung kepada penilaian akhir nanti. Kita akan putuskan kesebelasan utama mengikut kekuatan dan kelemahan pihak lawan," katanya.

Ketika aksi menentang Poland, Deschamps memilih taktikal menyerang dan kemungkinan corak permainan sama bakal digunakan dengan Griezmann masuk sebagai pemain gantian.

"Dia jenis pemain yang boleh menukar keputusan perlawanan, malah dia seorang pemain yang bekerja keras dan memiliki teknik yang baik.

"Sudah tentu peranan utamanya bukan soal memenangi bola di tengah, tetapi percubaan menerusi kaki kirinya yang mungkin memberi peluang buat pasukan meraih sesuatu.

"Dia sentiasa meletakkan kepentingan pasukan dari segalanya. Mentaliti ini yang diperlukan khususnya dalam situasi mendesak dan dia mampu menukar keputusan perlawanan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2024 @ 9:46 PM