MARZUKI (tengah) bersama ahli jawatankuasa baharu PBSNT.
MARZUKI (tengah) bersama ahli jawatankuasa baharu PBSNT.

Kuala Terengganu: Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman dipilih peneraju baharu Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) selepas menang tanpa bertanding dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa semalam.

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wan Nawawi Wan Ismail pula mengisi jawatan Timbalan Presiden I PBSNT bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Datuk Mazlan Ngah.

Jawatan Timbalan Presiden II pula kekal milik Marzuki Sulong selepas tidak dicabar.

Jasmira Othman terpilih mengisi satu daripada empat kerusi Naib Presiden persatuan bagi menggantikan Ab Rasid Jusoh yang mengundur diri.

Selain itu, tiga lagi Naib Presiden kekal milik Abdullah Sulong, Tuan Kechil Tuan Tengah dan Wan Zaulkfli Wan Gati.

Barisan kepimpinan PBSNT bagi penggal 2017-2020 itu dilengkapkan dengan pemilihan lapan Ahli Jawatankuasa Eksekutif membabitkan Che Wan Mohd Azlizan Che Wan Abu Bakar, Haslan Hashim, Kamarulzaman Idris, Mohd Rashdi Hamat, Ramlee Othman, Yahaya Mohd Noor, Zul Fadli Rozi dan Zulkiflee Nawi.

Dalam sesi pemilihan semalam, semua kepimpinan baharu persatuan itu hadir kecuali Ahmad Razif yang difahamkan berada di luar negara.

Sementara itu, Marzuki berkata, persatuan berkenaan beruntung kerana Menteri Besar menerajui pucuk pimpinan hasil keputusan bersama mesyuarat eksekutif lalu.

“Kami sepakat memilih Ahmad Razif sebagai Presiden PBSNT demi kebaikan persatuan kerana beliau individu yang memegang jawatan tertinggi dalam pentadbiran kerajaan negeri,” katanya.

“Saya percaya dengan barisan kepimpinan yang menerajui PBSNT itu bakal memberikan kesan positif. Pembabitan Wan Nawawi sebagai Timbalan Presiden I juga akan memperkuat dan melengkapkan lagi gerak kerja PBSNT dalam membuat percaturan terbaik demi kebaikan pasukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Disember 2016 @ 10:08 AM