COSTA (kanan) jaring gol kemenangan Chelsea.
COSTA (kanan) jaring gol kemenangan Chelsea.

London: Pendahulu Chelsea melebarkan penguasaan Liga Perdana Inggeris dengan memenangi perlawanan ke-11 apabila tandukan Diego Costa sejurus sebelum masa rehat memastikan kemenangan 1-0 di Crystal Palace, malam tadi.

Pemain antarabangsa Sepanyol itu melompat tinggi untuk menanduk masuk hantaran Cesar Azpilicueta pada minit ke-43, melepasi jangkauan Wayne Hennessey dalam perlawanan diselubungi kabus di Selhurst Park.

Jaringan itu yang ke-13 buat Costa dalam aksi liga yang menyaksikannya mengumpul koleksi 50 gol peribadi untuk Chelsea dalam semua pertandingan.

Chelsea berhak untuk menang dan mempunyai peluang melebarkan kelebihan mereka selepas rehat dengan Marcos Alonso dan N’Golo Kante memaksa Hennessey menyelamatkan keadaan sebelum sepakan percuma Alonso terkena palang gol.

Anak buah Antonio Conte kini mengumpul 43 mata daripada 17 perlawanan, sembilan lebih daripada Liverpool dan Arsenal yang tidak beraksi semalam.

Palace hanya menang sekali dalam 11 perlawanan liga terakhir mereka dan kekal tiga mata di atas tiga pasukan tercorot. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Disember 2016 @ 5:15 AM