PEDRO
PEDRO
Reuters

London: Pedro Rodriguez menyumbat gol pada penampilan sulung bersama Chelsea untuk membantu penyandang juara Liga Perdana Inggeris itu menang 3-2 ke atas West Bromwich Albion di Hawthorns, malam tadi.

Chelsea yang hanya mengumpul satu mata selepas dua perlawanan liga musim ini perlu berterima kasih kepada penjaga gol Thibaut Courtois apabila berjaya menyelamatkan sepakan penalti James Morrison pada minit ke-14.

Pengadil Mark Clattenburg menghadiahkan sepakan penalti itu kepada tuan rumah apabila Nemanja Matic menjatuhkan Callum McManaman.

Peluang keemasan itu gagal disempurnakan Morrison apabila rembatannya yang menuju ke bahagian tengah pintu gol berjaya diselamatkan Courtois menggunakan kakinya.

Chelsea berada di depan pada minit ke-20 apabila Pedro merembat masuk dari dalam petak penalti selepas melakukan hantaran satu dua dengan Eden Hazard.

Pasukan bimbingan Jose Mourinho itu terus melebarkan kedudukan 10 minit kemudian hasil jaringan Diego Costa selepas Pedro melakukan hantaran silang dari sebelah kanan.

Morrison berjaya menebus kesilapannya pada minit ke-35 apabila menerima hantaran cantik Salomon Rondon sebelum melepaskan rembatan padu menumpaskan Courtois.

Tiga minit sebelum babak pertama tamat, Chelsea berjaya menambah gol ketiga kali ini melalui pertahanan kiri Cesar Azpilicueta selepas menerima hantaran Costa.

Blues bagaimanapun terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila kapten John Terry dilayangkan kad merah apabila menjatuhkan Rondon yang cuba memasuki kotak penalti pasukan pelawat.

Pasukan bimbingan Tony Pulis menggunakan kesempatan dengan baik selepas Chelsea kehilangan Terry apabila mereka berjaya merapatkan kedudukan pada minit ke-59 hasil tandukan Morrison selepas menerima hantaran silang McManaman.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Ogos 2015 @ 7:43 AM