KLOPP gembira sambil memeluk pemainnya, Luiz Diaz. FOTO AFP
KLOPP gembira sambil memeluk pemainnya, Luiz Diaz. FOTO AFP
Reuters

London: Liverpool mendaki tangga teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas Mo Salah menjaringkan gol ke-200 bersama kelab berkenaan ketika menang 2-1 ke atas Crystal Palace sebelum Aston Villa mengalahkan Arsenal 1-0 untuk menghalang The Gunners merampas semula kedudukan pendahulu.

Palace terlebih dahulu mendahului perlawanan di Selhurst Park hasil sepakan penalti pada minit ke-57 apabila semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) yang laman mendapati Jean-Philippe Mateta dikasari oleh pertahanan tengah, Jarell Quansah.

Mateta tidak berdepan masalah untuk menyempurnakan sepakan penalti berkenaan.

Liverpool tidak berjaya melakukan percubaan tepat ke sasaran tetapi permainan berubah apabila pemain Palace, Jordan Ayew dilayangkan kad merah pada minit ke-75 selepas menerima kad kuning kedua.

Seminit kemudian Salah berjaya menyamakan kedudukan untuk berada sebaris dengan pemain elit lain meledak 200 gol sama seperti dilakukan Ian Rush, Roger Hunt, Gordon Hodgson dan Billy Liddell.

Liverpool kemudian mengepung gawang Palace dan Harvey Elliott menghasilkan jaringan menakjubkan pada minit pertama masa kecederaan untuk memastikan kemenangan keenam dalam lapan perlawanan liga buat pasukan bimbingan Juergen Klopp yang mengumpul 37 mata daripada 16 perlawanan.

"Saya adalah pengurus paling gembira buat masa sekarang namun saya sedar kami juga sedikit bertuah.

"Jika anda hanya memenangi permainan anda yang benar-benar bagus, anda tidak mempunyai peluang untuk benar-benar berjaya, begitulah keadaannya, dan jelas hari ini bukanlah permainan yang sangat bagus daripada kami.

"Sepanjang 76 minit ternyata kami mempamerkan permainan yang kurang menarik," kata Klopp.

Liverpool mendahului liga dengan 37 mata, satu mata di atas pasukan tangga kedua, Arsenal dan diikuti Villa di tempat ketiga selepas mengumpul 35 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Disember 2023 @ 8:57 AM