STERLING (tengah) diasak dua pemain Palace di  Selhurst Park. - FOTO AFP
STERLING (tengah) diasak dua pemain Palace di Selhurst Park. - FOTO AFP
Reuters

PENYERANG Manchester City, Raheem Sterling menjaringkan dua gol ketika membantu juara Liga Perdana Inggeris itu menewaskan Crystal Palace 3-1 di Selhurst Park sebentar tadi sekali gus merampas kembali kedudukan pendahulu dan menambahkan tekanan ke atas Liverpool.

City kini meraih 83 mata daripada 33 perlawanan, satu mata mengatasi Liverpool yang boleh memintas kembali skuad Pep Guardiola jika menewaskan pasukan di tangga ketiga, Chelsea di Anfield malam ini.

Selepas terlepas peluang menjaringkan gol pada babak awal perlawanan, Sterling meletakkan City di depan pada minit ke-15 menerusi rembatan kencang dalam kotak penalti selepas mendapat hantaran jauh Kevin De Bruyne.

Pemain antarabangsa England itu menambah gol kedua selepas rehat untuk jaringan ke-17nya dalam liga musim ini apabila dia yang mendapat hantaran Leroy Sane mudah menolak bola masuk melepasi jangkauan penjaga gol Palace, Vicente Guaita.

Palace enggan mengalah apabila Luka Milivojevic menjaringkan gol menerusi sepakan percuma ketika perlawanan berbaki sembilan minit selepas pemain tengah James McArthur dijatuhkan di luar kotak penalti.

Bagaimanapun, City memastikan kemenangan milik mereka dengan gol ketiga pada minit ke-89 apabila pemain gantian Gabriel Jesus mudah menewaskan Guaita selepa mendapat hantaran De Bruyne.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 April 2019 @ 11:53 PM