CALLUM Wilson (kiri) merebut bola dari pemain tengah Crystal Palace, Cheick Doucoure. FOTO AFP
CALLUM Wilson (kiri) merebut bola dari pemain tengah Crystal Palace, Cheick Doucoure. FOTO AFP
Reuters

London: Newcastle United melebarkan rekod tanpa kalah dalam Liga Perdana kepada 15 perlawanan dan mengekalkan rekod bersih keenam berturut-turut biarpun terikat 0-0 di Crystal Palace.

Satu mata daripada pertembungan mengecewakan itu cukup untuk membawa Newcastle kembali ke tempat ketiga liga di atas Manchester United yang akan menentang Arsenal malam ini.

Skuad bimbingan Eddie Howe mendominasi separuh masa pertama dengan Joelinton mempunyai peluang yang baik dua kali tetapi mereka bergelut untuk menggugat Palace selepas rehat di Selhurst Park.

Palace yang kehilangan Wilfried Zaha akibat kecederaan hamstring pada separuh masa kedua hampir mendapat gol namun cubaan Jean-Philippe Mateta diselamatkan penjaga gol Newcastle, Nick Pope.

Keputusan seri itu menyaksikan Newcastle meraih 39 mata dari 20 perlawanan mengatasi Manchester United dengan perbezaan gol.

Palace kekal di kedudukan ke-12 liga dengan 24 mata.

Ia malam yang mengecewakan bagi Newcastle selepas kehilangan dua mata dalam usaha mereka untuk menduduki empat tempat teratas.

"Saya amat gembira dengan pasukan hari ini," kata Howe.

"Kami ada saat itu dan peluang untuk menjaringkan gol tetapi tidak mengambilnya. Kami kecewa tetapi kami ada jangkaan tinggi.

"Palace bertahan sangat baik."

Palace, yang gagal mencipta kemenangan tahun ini, lega mendapat satu mata ketika mereka melalui perlawanan sukar termasuk seri berdepan Manchester United pada pertengahan minggu.

"Kami tahu ia akan menjadi sukar di Palace tetapi ia mungkin kerana tidak mengambil peluang, tapi satu mata cukup bagus ketika datang ke sini," kata pertahanan kanan Newcastle, Kieran Trippier.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 January 2023 @ 9:46 AM