MAURIZIO SARRI
MAURIZIO SARRI

LONDON: Minggu kedua Liga Perdana Inggeris dijangka lebih meriah dengan jaringan gol, dan pertemuan tetangga London antara Chelsea dan Arsenal yang bermula jam 12.30 tengah malam Ahad sudah pasti menjadi tumpuan utama.

Newcastle dan Cardiff membuka tirai minggu kedua dengan kedua-dua pasukan mempunyai peluang terbaik untuk memburu mata pertama musim ini.

Cardiff yang lebih gemar bermain secara bertahan akan menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri untuk memburu jaringan. Namun Newcastle yang tewas tipis kepada Tottenham minggu lalu pasti mahu memanfaatkan pertemuan dengan Cardiff untuk memungut mata penuh.

Kemudian, kunjungan Bournemouth ke West Ham pula bakal menyaksikan kebangkitan tuan rumah yang kalah 4-0 kepada Liverpool di minggu pertama. Manakala Bournemouth pula berdepan ujian sebenar selepas menang 2-0 ke atas Cardiff sebelum ini.

Fulham yang berdepan Tottenham pula sekali lagi terpaksa mengharungi cabaran sukar selepas tewas 2-0 di tangan Crystal Palace minggu lalu.

Satu-satunya pasukan yang datang dari Liga Kejuaraan musim lalu dan berjaya mendapat mata pada minggu pertama adalah Wolverhampton, selepas seri 2-2 menentang Everton.

Namun, minggu ini mereka terpaksa bertandang ke Leicester yang mahu menebus kekalahan perlawanan sulung kepada Manchester United.

Everton pula yang kurang bernasib baik minggu lalu akan melayan kunjungan Southampton di Goodison Park. Kelebihan berpihak kepada tuan rumah yang mungkin akan diperkuat Bernard dan Yerry Mina pada aksi kedua ini.

Hari pertama minggu kedua diakhiri dengan pertembungan Chelsea dan Arsenal di Stamford Bridge. Tuan rumah yang dibimbing Maurizio Sarri dijangka mampu mengekalkan rentak kemenangan minggu lalu walaupun berdepan saingan sengit anak buah Unai Emery.

Pada Ahad, perlawanan di Stadium Etihad dijangka mudah dikuasai City yang bakal menang dengan jumlah jaringan yang besar. Ketiadaan Kevin de Bruyne yang cedera, tidak menjejaskan kelebihan juara bertahan itu ke atas Huddersfield yang dibelasah Chelsea 3-0 di laman sendiri minggu lalu.

Burnley yang mempunyai tugasan Liga Europa akan bertandang di laman Watford. Walaupun tidak mempunyai skuad mantap untuk menangani kedua-dua saingan itu, Burnley dijangka mampu menyekat kemaraan Watford untuk berkongsi mata.

Awal pagi Selasa bakal menyajikan perlawanan menarik antara Liverpool dan Crystal Palace di Selhurst Park. Walaupun Liverpool dilihat mempunyai skuad lebih mantap, faktor Selhurst Park mampu menyukarkan misi tiga mata di laman Palace itu.

 

RAMALAN EPL MINGGU 2

Cardiff 1 Newcastle 1

West Ham 3 Bournemouth 2

Spurs 3 Fulham 1

Leicester 1 Wolverhampton 0

Everton 2 Southampton 0

Chelsea 2 Arsenal 1

Man City 4 Huddersfield 0

Burnley 2 Watford 1

Brighton 1 Man Utd 1

Palace 1 Liverpool 2

 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Ogos 2018 @ 8:07 PM