Marrakech, Maghribi: San Lorenzo akan menentang Real Madrid pada final Piala Kelab Dunia selepas juara Amerika Selatan itu menamatkan cabaran kelab amatur Auckland City 2-1 pada separuh akhir, awal pagi semalam.

Real dijangka menjadi pilihan utama menjuarai Piala Kelab Dunia buat julung kali Sabtu ini selepas San Lorenzo memerlukan masa tambahan sebelum menyingkirkan Auckland, pasukan gabungan pemain semi-pro dan amatur yang terpaksa bekerja setiap hari.

Melihat kepada kekuatan mereka, jelas ia pasti pertembungan David menentang Goliath andai juara Oceania itu mara ke final berdepan pasukan terkaya dunia.

Hanya satu persamaan antara Auckland dan Real adalah jersi putih. Kelab New Zealand yang berkunjung ke Maghribi termasuk seorang pemandu trak, pencuci, buruh, penuntut, peguam, penjual dapur, pekerja kilang arak dan pemain yang dibayar dan bertindak sebagai jurulatih bola sepak sekolah.

Buat seketika, satu kejutan mungkin terjadi apabila gol Angel Berlanga pada babak kedua berjaya memadamkan jaringan pertama San Lorenzo menerusi Pablo Barrientos pada babak pertama.

Namun, pemain gantian Mauro Matos menyumbat gol kemenangan San Lorenzo pada minit ketiga masa tambahan.

“Tampil sebagai pemain semi-profesional tidak bermakna mereka tidak bagus,” jelas Barrientos. “Mereka pada satu tahap yang amat tinggi.”

Jurulatih Auckland Ramon Tribulietx berkata, cara pasukannya kalah bagaikan satu kemenangan besar.

“Kami pemenang dari segi moral malam ini,” ujarnya. “Kami akan mengingati saat ini untuk tempoh yang lama.”

Taktik bertahan Auckland menyukarkan juara Copa Libertadores itu hinggalah pada minit kedua masa kecederaan babak pertama apabila Barrientos meledak sepakan separa voli melepasi Tamati Williams, penuntut zoologi dan penjaga gol Auckland.

“Pasukan ini agak gemuruh dan tidak begitu bagus. Kami tidak biasa sering kehilangan bola,” ujar jurulatih San Lorenzo Edgardo Bauza. “Perlawanan berikutnya pasti berbeza.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Disember 2014 @ 5:10 AM