Marrakech, Maghribi: San Lorenzo yang tidak gentar dengan jurang perbezaan dengan Real Madrid, berazam memberikan tentangan sengit apabila berdepan juara Eropah itu pada final Piala Kelab Dunia, awal pagi esok.

Juara Amerika Selatan itu, dengan Pope Francis dan aktor Hollywood, Viggo Mortensen antara penyokong mereka, menghabiskan €3 juta (RM12.8 juta) ketika pasaran perpindahan pemain sebelum ini manakala Real membelanjakan €80 juta (RM341 juta) tahun ini terhadap James Rodriguez sahaja.

“Kami akan berjuang merebut bola hingga ke saat akhir,” ujar pemain tengah San Lorenzo, Leandro Romagnoli. “Jika kami terlalu hormati mereka, ia pasti mustahil.

“Jika kami berikan mereka ruang, mereka akan menghukum kami, kami perlu bermain dengan sebilah pisau antara gigi kami,” jelasnya, mengulangi frasa yang sering digunakan jurulatih Atletico Madrid dan bekas kapten Argentina, Diego Simeone.

San Lorenzo berusaha muncul kelab pertama Argentina memenangi kejohanan itu sejak format semasa digunakan pada 2005.

Boca Juniors dan Estudiantes pernah layak ke final, namun tumpas kepada AC Milan dan Barcelona.

“Saya percaya 100 peratus dengan peluang kami,” kata jurulatih Edgardo Bauza yang membimbing kelab Ecuador, LDU pada final 2008 menentang Manchester United. “Anda perlu mengimpikan kemenangan.” - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Disember 2014 @ 5:06 AM