PAVONE (dua dari kanan) cuba melepasi empat pemain Wanderers.
PAVONE (dua dari kanan) cuba melepasi empat pemain Wanderers.

Rabat: Western Sydney Wanderers hanya dipisahkan seminit daripada berdepan Real Madrid pada aksi Piala Kelab Dunia sebelum tumpas 1-3 selepas masa tambahan kepada Cruz Azul dan menamatkan saingan suku akhir itu dengan sembilan pemain.

Juara Asia dari Australia itu mengatasi hujan lebat selain pertelagahan mengenai bayaran elaun untuk mendahului selepas 65 minit apabila pemain tengah Itali, Iacopo La Rocca memecah kebuntuan dengan menjaringkan gol dari jarak 20 meter.

Sepuluh minit kemudian Matthew Spiranovic muncul pemain pertama Sydney dilayangkan kad merah kerana memegang bola.

Penjaga gol Sydney, Ante Covic berjaya mengekang asakan kelab Mexico itu hingga ke minit terakhir apabila Cruz Azul dihadiahkan sepakan penalti dengan kapten Gerardo Torrado menyempurnakannya sekali gus memaksa masa tambahan.

Semuanya makin tidak menjadi buat Wanderers dalam tambahan 30 minit apabila kapten, Nikolai Topor-Stanley dilayang kad kuning kedua menyebabkan Cruz Azul mempunyai kelebihan dua pemain.

Cruz Azul mendahului pada minit ke-108. Rembatan Christian Gimenez diselamatkan Covic, namun Hugo Pavone berjaya menampan masuk ke gawang.

Gol ketiga hadir dua minit sebelum tamat apabila Mateo Poljak memegang bola dengan tangan dalam kotak penalti dan Torrado merembat masuk satu lagi penalti melepasi Covic.

Kekalahan itu menyebabkan Sydney beraksi penentuan tempat kelima menentang Setif dari Algeria, manakala Cruz Azul berdepan Real Madrid pada separuh akhir esok.

Terdahulu, Auckland City menewaskan juara Afrika, Setif 1-0 untuk layak ke separuh akhir bertemu juara Amerika Selatan, San Lorenzo. Pertahanan tengah John Irving menyumbat gol tunggal pada minit ke-52. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Disember 2014 @ 5:08 AM