Dubai: Kelab gergasi Serie A, AC Milan ‘menamatkan’ rekod 22 kemenangan berturut-turut Real Madrid apabila penyerang Stephan El Shaarawy menyumbang dua gol ketika menang 4-2 pada perlawanan persahabatan, awal pagi semalam.

Jurulatih Real Carlo Ancelotti mengetepikan pemain bintang Gareth Bale, Karim Benzema dan James Rodriguez daripada kesebelasan utamanya namun Cristiano Ronaldo memulakan perlawanan itu dan menjaringkan gol pada babak pertama.

Juara Eropah itu menang 22 perlawanan dalam semua pertandingan sebelum hadir di Dubai, namun perlawanan awal pagi semalam diklasifikasikan sebagai persahabatan dan tidak berada dalam jadual rasmi.

Real memenangi Piala Kelab Dunia dengan kemenangan 2-0 ke atas kelab Argentina, San Lorenzo minggu lalu.

El Shaarawy bagaimanapun tidak menghiraukan reputasi lawan dengan gol pada setiap babak selain gol sumbangan pemain Perancis, Jeremy Menez dan Giampaolo Pazzini. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 January 2015 @ 7:21 AM