Madrid: Pemain kebangsaan Perancis, Antoine Griezmann menyumbat hatrik ketika Atletico Madrid mempamerkan kebangkitan mengagumkan pada babak kedua sebelum membelasah Athletic Bilbao 4-1 awal pagi semalam sekali gus melonjak empat mata di belakang pendahulu La Liga, Real Madrid.

Juara Sepanyol itu kelihatan pasti kalah kali kedua berturut-turut buat kali pertama dalam liga sejak April 2012 apabila Mikel Rico meletakkan Athletic di depan pada babak pertama.

Namun Griezmann menyamakan kedudukan sejurus sebaik sepak mula babak kedua dan melengkapkan hatriknya selepas Raul Garcia membantu pelawat mendahului menerusi sepakan penalti.

Kemenangan itu membolehkan Atletico kembali tiga mata berbanding Barcelona, yang menang besar 5-0 ke atas Cordoba, kelmarin.

Bagaimanapun, Real beraksi kurang satu perlawanan berbanding dua pencabar kejuaraan ketika mereka memenangi trofi keempat tahun ini dengan menundukkan kelab Argentina, San Lorenzo pada final Piala Kelab Dunia di Maghribi, Sabtu lalu.

“Ini perlawanan terbaik saya sejak berada di sini. Saya perlu meneruskan persembahan sebegini dan terus bekerja keras,” jelas Griezmann.

Sementara itu, Villarreal dan Malaga kekal berpeluang merebut tempat dalam kelompok empat teratas dengan kemenangan ke atas Deportivo la Coruna dan Elche.

Villarreal lebih selesa beraksi di laman sendiri apabila mereka membenam Depor 3-0 sekali gus meraih kemenangan ketujuh berturut-turut dalam semua pertandingan menerusi gol pertama Jonathan dos Santos buat kelab itu dan dua gol babak kedua sumbangan Luciano Vietto.

Malaga pula terpaksa bangkit daripada ketinggalan sebelum merakam kemenangan ketiga liga berturut-turut selepas David Lomban meletakkan Elche di depan pada babak pertama.

Bagaimanapun, dua gol babak kedua menerusi Ignacio Camacho dan Luis Alberto bermakna mereka menyertai Villarreal dan Sevilla dengan 30 mata, hanya satu mata berbanding pasukan tangga keempat Valencia. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Disember 2014 @ 7:28 AM