Marrakech, Maghribi: Juara Eropah, Real Madrid membelasah Cruz Azul 4-0 untuk melangkah ke perlawanan akhir Piala Kelab Dunia, awal pagi semalam selepas mendominasi penuh pertemuan menentang kelab Mexico itu.

Jaringan Sergio Ramos, Karim Benzema, Gareth Bale dan Isco menyaksikan Real mencipta rekod kemenangan ke-21 berturut-turut pada perlawanan separuh akhir yang penuh sesak di Grand Stade de Marrakech, gelanggang final tahun lalu yang menyaksikan Bayern Munich menundukkan Raja Casablanca 2-0.

“Pasukan ini berhak memenangi kejuaraan dunia,” ujar jurulatih Real Madrid dari Itali, Carlo Ancelotti selepas kemenangan mudah dan mengagumkan itu.

Penjaga gol Iker Casillas berdepan sepakan penalti pada minit ke-40 selepas Ramos menolak penyerang Cruz dari Argentina, Mariano Pavone, namun bintang veteran Sepanyol itu mudah menyelamatkan sepakan lemah Gerardo Torrado.

Ketika Presiden FIFA dan UEFA, Sepp Blatter dan Michel Platini menyaksikan perlawanan, Ramos membuktikan kehebatannya menerusi tandukan pada minit ke-15 dengan mengambil kesempatan kesilapan penjaga gol Jose Corona untuk membuka tirai jaringan.

Penyerang Perancis, Benzema mempamerkan kepantasan mengagumkan pada minit ke-36 untuk merembat masuk hantaran silang Daniel Carvajal sebelum pertahanan lawan berjaya menyambut bola.

Cristiano Ronaldo menjadi pengumpan dua gol berikutnya. Tidak dicabar di sebelah sayap kiri, Ronaldo menghasilkan umpanan membolehkan Bale yang tidak dikawal menanduk masuk gol ketiga pada minit ke-50.

Ikon Portugal itu yang menerima sorakan setiap kali menyentuh bola, kemudian berganding hebat dengan Isco, yang melepasi dua pertahanan lawan sebelum merembat leret ke penjuru gol pada minit ke-72.

Juara kelab Amerika Utara kendalian Luis Fernando Tena bergelut sebelum menyingkirkan Western Sydney Wanderers untuk mara separuh akhir dan jarang sekali mengancam Real.

“Kami sedar ia pasti sukar dan pemain sudah mencuba sebaik mungkin. Tapi mereka terlalu bagus dan keputusan ini menjadi buktinya,” jelas Tena. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Disember 2014 @ 7:33 AM