Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengakui peguam sukan Mike Morgan sentiasa berhubung dengan Datuk Lee Chong Wei bagi mempersiapkan diri menghadapi Panel Pendengaran Doping Persekutuan Badminton Dunia (BWF) awal tahun depan.

Menurut Pengurus Besar BAM Kenny Goh, bukan hanya BAM yang sentiasa berhubung dengan Morgan malah Chong Wei juga tidak ketinggalan menggunakan peluang berbincang dengan peguam berkenaan bagi memastikan mereka mempunyai maklumat kukuh menjelang perbicaraan berkenaan.

“Buat masa ini peguam masih berusaha mencari fakta, ia perlu dikumpul untuk dijadikan satu rangkaian pertahanan kukuh walaupun kita belum tahu tarikh Panel Pendengaran Doping BWF,” katanya di ibu pejabat BAM di Stadium Juara, Bukit Kiara semalam.

Jelasnya, tarikh perbicaraan yang diberitahu Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkemungkinan awal Januari depan ada logiknya, namun mereka enggan memberi sebarang komen lanjut.

“Apa yang boleh saya beritahu, peguam sentiasa berhubung dengan kami. Komunikasi sangat penting, begitu juga Chong Wei,” katanya.

Ditanya emosi Chong Wei setakat ini, Kenny berkata, pemain nombor satu dunia itu melalui saat sukar dan ia bukan mudah kerana membabitkan kariernya.

“Memang dia menghadapi kesulitan, tetapi saya rasa dia mempunyai mental kuat menghadapinya,” katanya.

Chong Wei didapati positif menggunakan bahan terlarang, dexamethasone ketika beraksi di Kejohanan Dunia 2014 Copenhagen Ogos lalu.

Sementara itu, mengenai kontrak jurulatih, Kenny berkata, ia proses biasa untuk melihat kembali prestasi mereka sepanjang tahun.

“Perkara ini harus telus. Saya rasa proses ini perlu untuk membantu mereka memahami sasaran berjaya dicapai atau tidak. Mereka juga lebih tahu apakah sasaran yang ditetapkan.

“Sepanjang dua hari (Isnin dan Selasa minggu lalu) kita menilai kembali pencapaian mereka dengan mengumpul data dan segala maklum balas sebelum dibentangkan pada Mesyuarat Majlis BAM tahun depan. Saya percaya mereka mengambil perkara ini secara positif.

“Ini bukan sesi satu hala, tetapi dua hala. Tahun depan pelbagai cabaran dihadapi termasuk Kejohanan Dunia dan kelayakan Sukan Olimpik 2016 Rio.

“Semua pihak, termasuk jurulatih, ahli exco dan pengurusan perlu tahu sasaran ditetapkan. Saya rasa tidak ada pihak berada dalam keadaan tidak tahu apa yang berlaku,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Disember 2014 @ 6:36 AM